Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) buat julung kalinya tampil memaparkan 3 jenis juadah makanan eksotik dalam bentuk setem bagi meraikan penggemar sajian unik itu di negara ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah berkata, siri setem Makanan Eksotik berkenaan akan dijual di semua pejabat pos umum dan pejabat pos terpilih di seluruh negara bermula 19 Februari ini.

“Terdapat 3 setem yang berbeza dengan nilai muka 60 sen setiap satu memaparkan Kerabu Beronok, Belalang Kunyit Goreng serta Rendang dan Stik Landak.

“Penerbitan setem eksklusif ini hanya dicetak sebanyak 200,000 keping bagi setiap jenis,” katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan setem dan sampul surat siri Makanan Eksotik.

Diyana berkata, pemilihan paparan juadah eksotik tersebut turut menekankan aspek makanan yang memenuhi kriteria termasuk halal, keunikan dan sejauh mana ia terkenal dalam kalangan penggemar makanan tersebut.

“Sebenarnya, terdapat banyak makanan eksotik dalam pilihan kita untuk dipaparkan namun kita yakin, hidupan eksotik yang dipaparkan tersebut mempunyai keunikan yang tersendiri dan menjadi antara juadah paling digemari ramai,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]