PPBM akan pecahkan undi Melayu-Islam di Sabah

Presiden PBS, Maximus Ongkili. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili berkata kemasukan PPBM yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sabah akan memecah undi orang Melayu-Islam di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau berkata parti pembangkang tidak membantah kemasukan parti yang berpangkalan di Semenanjung itu ke negeri tersebut.

Masyarakat Bumiputera di negeri itu kini berpecah kepada Umno dan Warisan.

Ongkili menekankan ia lebih memberi manfaat jika kerajaan negeri ditadbir oleh parti tempatan. “Saya rasa adalah lebih baik rakyat Sabah bersatu dan berjuang untuk hak mereka jika ditadbir parti tempatan.

“Kesannya lebih besar jika rakyat Sabah dipimpin melalui parti sedia ada seperti PBS. Lebih mudah bagi Sabah mencapai matlamat pembangunannya,” kata Ongkili.

Kemasukan PPBM ke Sabah nampaknya tidak menggembirakan Warisan.

Dr Mahathir berkata dengan adanya PPBM di Sabah dapat menguatkan lagi Pakatan Harapan di negeri itu dan membuka peluang kepada bekas ahli Umno untuk sertai parti berkenaan.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Jeffrey Kitingan memberitahu FMT, bekas pemimpin Umno Sabah berkemungkinan akan bekerjasama dengan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

GBS adalah gabungan PBS, STAR dan bekas pemimpin Umno Sabah yang membentuk blok pembangkang dalam DUN Sabah.

“Walaupun bekas pemimpin Umno Sabah menjadi ahli PPBM, mereka masih sebahagian daripada GBS. Hanya Umno bukan sebahagian GBS,” katanya.

Beliau mengakui keadaan itu menjadi agak rumit kerana bekas pemimpin Umno Sabah kini diwajibkan untuk menyokong kerajaan gabungan Warisan-PH di negeri itu.

FMT mendapatkan bekas setiausaha agung Umno Sabah, Datuk Masidi Manjun untuk mendapatkan komen.

Bekas ketua perhubungan Umno, Datuk Hajiji Noor pula baru berlepas ke Mekah untuk mengerjakan umrah.

Ketua Menteri dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dijangka memberi maklum balas kepada kemasukan PPBM ke negeri ini petang ini.