PPBM ke Sabah bukan mahu lawan Shafie, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad (3 dari kanan) berkata kemasukan PPBM ke Sabah untuk membuka peluang kepada bekas ahli Umno menyertai parti itu.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan PPBM mengembangkan sayapnya ke Sabah bukan untuk menentang Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, sebaliknya mahu menguatkan lagi kerajaan negeri.

Dr Mahathir berkata dengan adanya PPBM di Sabah juga dapat menguatkan lagi Pakatan Harapan (PH) di negeri itu dan membuka peluang kepada bekas ahli Umno menyertai parti itu.

“Tak perlu pendapat atau persetujuan Warisan atau parti dalam PH. Kita nak pergi Sabah nak kuatkan kerajaan PH, PH menerima Warisan dalam kerajaan. Kita akan ke sana bantu, bukan untuk tukar kerajaan.

“Siapa sahaja di Sabah nak masuk PPBM, kita akan terima, (tetapi) terhad pada bekas ahli Umno. Kita terima mereka dengan syarat kita tapis secara individu, bukan kumpulan. Itu keputusan kita.

“PPBM tak terima ahli dari parti dalam PH seperti DAP, Amanah dan PKR serta Warisan,” katanya di sidang media mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, hari ini.

Selasa lalu, Dr Mahathir berkata persefahaman dengan Warisan mengenai kemasukan ke Sabah bukan sesuatu yang tidak boleh diubah.

Ia susulan kenyataan Shafie baru-baru ini berkata, PPBM tidak perlu ke Sabah, ketika spekulasi bertiup kencang selepas tindakan pemimpin Umno Sabah meninggalkan parti itu.

Dr Mahathir juga berkata keputusan PPBM ke Sabah disebabkan Warisan bukan parti komponen PH.

Beliau berkata PH menerima Warisan untuk memimpin Sabah juga merupakan satu perkara luar biasa.

“Warisan tak ada dalam PH, kita terima seolah dia berada dalam PH dengan sokong ketua Warisan sebagai ketua menteri Sabah.

“Pemimpin Warisan juga telah dipilih, 3 wakil untuk menjadi menteri dalam Kabinet dan 2 lagi pimpinan Warisan jadi timbalan menteri,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan, bagi bekas pimpinan Umno yang mahu menyertai PPBM di Sabah juga perlu melalui tapisan PPBM.

“Ada 2 orang bekas Umno sebenarnya ingin jadi ahli PPBM dan untuk jadi ahli PPBM, syarat mesti keluar Umno dan itu sudah dilakukan.

“Mereka juga sudah jadi bebas sekian lama dan kita sedia terima, tetapi kita terima dengan memilih latar belakang pemohon, jadi kita buat keputusan untuk tubuh PPBM di Sabah.”

Kerajaan akan kaji RCI siasat salah laku hakim

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji gesaan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat salah laku dalam badan kehakiman.

Dr Mahathir berkata mana-mana cadangan untuk menubuhkan RCI perlu dikaji terlebih dahulu, tetapi menegaskan beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mengeluarkan pandangan mengenai perkara itu.

“Saya tidak ada dalam kedudukan untuk berkata perkara itu. Jika ada mana-mana cadangan RCI, kita akan kaji terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum itu, Hamid mendakwa terdapat hakim tertentu membantu pihak swasta menipu kerajaan.

Hamid berkata beliau bersedia mendedahkan lebih banyak bukti jika RCI dibentuk untuk meneliti perkara itu, tetapi melahirkan rasa kesal apabila Ketua Hakim Tan Sri Richard Malanjum enggan berbuat demikian.

Lawatan PDRM tak wajar ditaja Da Ma Cai

Dr Mahathir menyifatkan lawatan kerja ke Turki yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dibayar syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai sebagai tidak wajar.

“Lawatan itu berlaku sebelum kami (PH) memerintah. Lawatan itu bagus tetapi tidak wajar ditaja oleh Da Ma Cai.”