Saksi lihat Adib tidak sedarkan diri tepi jalan

S Suresh menunjukkan demonstrasi kepada mahkamah bagaimana dia terjatuh di depan Muhammad Adib yang tidak sedarkan diri.

SHAH ALAM: Seorang saksi dalam insiden rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu, berkata beliau melihat seseorang dipercayai anggota bomba tidak sedarkan diri di tepi jalan.

Saksi ke-8, S Suresh, 33, berkata dia yang berada berdekatan tempat kejadian melihat sekumpulan individu mengelilingi anggota bomba yang tidak sedarkan diri itu.

“Saya berjalan ke hadapan kumpulan itu bagi melihat apa yang berlaku dan nampak ada orang tidak sedarkan diri di hadapan sebuah kereta.

“Semasa kejadian, saya turut ditolak ke depan oleh kumpulan terbabit dan jatuh di hadapan anggota bomba yang tidak sedarkan diri itu,” katanya dalam inkues yang diadakan di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Suresh kemudiannya ditanya Pegawai Pengendali Inkues Zhafran Hamzah, bagaimana dia mengetahui individu terbabit merupakan seorang anggota bomba.

“Ini berdasarkan seluar celoreng bomba yang dipakainya,” kata Suresh, sambil menambah ada individu dari kumpulan itu memijak bahu kanannya.

Suresh yang merupakan seorang kontraktor turut menunjukkan demonstrasi bagaimana dia terjatuh di depan anggota bomba terbabit.

Dia berkata, selepas berjaya keluar dari kumpulan terbabit, beliau memaklumkan pada rakannya R Narresh, 30, bahawa terdapat seorang anggota bomba tidak sedarkan diri.

Katanya, Narresh meminta bantuan orang ramai bagi menghantar anggota bomba yang tidak sedarkan diri ke hospital terdekat.

“Saya juga berada di hospital dan berada di sana sehingga jam 4 pagi. Doktor kata keadaan anggota bomba itu serius,” sambil menambah dia kemudiannya mengetahui anggota bomba itu adalah Muhammad Adib Mohd Kassim.

Inkues berkenaan akan bersambung semula pada Isnin depan dan Narresh akan memberikan keterangan pada hari tersebut.

Seramai 30 saksi dijangka memberi keterangan dalam inkues yang dijadualkan berlangsung selama 52 hari.