Setiausaha pegawai kanan kerajaan ditahan terima rasuah RM1.5 juta

Wanita itu meminta suapan daripada wakil syarikat hartanah sebagai dorongan untuk meminta persetujuan ketuanya bagi meluluskan pembelian aset kerajaan di luar negara. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Seorang setiausaha pejabat kepada pegawai kanan di sebuah kementerian direman selama 5 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Majistret Ahmad Afiq Hasan mengeluarkan perintah reman terhadap wanita itu sehingga 19 Feb ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Wanita berusia 39 tahun itu dibawa ke mahkamah pada kira-kira 9.05 pagi tadi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Menurut sumber SPRM, wanita itu ditahan di ibu pejabat SPRM selepas hadir memberi keterangan pada kira-kira 6.56 petang semalam.

Wanita itu dipercayai meminta suapan sebanyak RM1.5 juta daripada wakil syarikat hartanah sebagai dorongan untuk meminta persetujuan daripada ketuanya bagi meluluskan pembelian aset kerajaan di luar negara pada penghujung tahun lepas.

Difahamkan suspek menerima sebahagian daripada wang terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat menurut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.