SPR: Aktiviti kerajaan di Semenyih ‘ok’ jika bukan pancing undi

Azhar Azizan Harun. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Aktiviti kerajaan yang berlangsung di Semenyih secara amnya tidak dianggap sebagai pelanggaran undang-undang pilihan raya selagi aktiviti itu tidak digunakan untuk mengumpan undi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun.

Katanya ini kerana pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih berlangsung dalam keadaan kerajaan wujud dan DUN Selangor tidak dibubarkan.

“Bila kerajaan wujud akan terdapat aktiviti kerajaan. Kalau aktiviti itu digunakan untuk mengumpan undi maka ia akan menjadi isu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kehadiran ramai anggota Kabinet di Semenyih yang bakal menghadapi PRK pada 2 Mac ini.

Azhar ditemui pemberita selepas 3 anggota SPR iaitu Datuk Seri Ramlan Ibrahim, Datuk Chin Phaik Yoong dan Zoe Randhawa melapor diri di ibu pejabat SPR, hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar bagaimanapun berkata keputusan muktamad berkenaan perkara itu terletak di tangan mahkamah sekiranya ia dibawa ke muka pengadilan.

Ditanya mengenai persiapan PRK DUN Semenyih, Azhar berkata suruhanjaya itu sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRK tersebut yang melibatkan kos RM1.8 juta serta 992 petugas dan merupakan PRK ke-6 sejak PRU14 pada 9 Mei tahun lepas.

Esok merupakan hari penamaan calon PRK itu manakala pengundian pada 2 Mac dan undi awal 26 Feb ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Bakhtiar daripada PPBM memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional Datuk Johan Abdul Aziz (14,464); calon PAS Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293).