SPRM akan jumpa hakim dedah afidavit menggemparkan

Azam Baki berkata, pegawai SPRM akan menemui Hamid Sultan Abu Backer minggu depan.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menemui hakim Mahkamah Rayuan yang mengesahkan afidavit didakwa mendedahkan insiden campur tangan kehakiman, kata Timbalan Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata, pegawainya akan menemui Datuk Hamid Sultan Abu Backer minggu depan pada masa dan tempat yang sesuai dengan hakim itu.

“Kami mahu mendapatkan lebih banyak maklumat daripada hakim itu mengenai dokumen itu kerana kami hanya bergantung kepada laporan media.

“Kami belum buka sebarang kertas siasatan mengenai afidavit itu,” katanya kepada FMT.

Semalam, Hamid mengesahkan afidavit setebal 65 muka yang menyokong saman pemula difailkan peguam, Sangeet Kaur Deo terhadap dakwaan kegagalan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum melengkapkan siasatan terhadap 2 kes didakwa membabitkan campur tangan kehakiman.

Satu daripada kes itu adalah kes hasutan terhadap bapa Sangeet, mendiang Karpal Singh, sementara satu lagi kes membabitkan Hamid, yang mendakwa beliau ditegur seorang hakim atasan kerana membuat penghakiman berbeza dalam kes penukaran agama 3 anak M Indira Gandhi.

Sangeet memohon perintah deklarasi terhadap ketua hakim negara gagal menjalankan tugasnya untuk melindungi dan mempertahankan integriti kehakiman.

Dalam satu kenyataan November lalu, Malanjum dilaporkan berkata, pihak kehakiman terpaksa menggantung siasatan dalam kes Karpal disebabkan siasatan polis sedang berjalan dan menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, siasatan ke atas kes Karpal juga tidak dapat dijalankan kerana 3 hakim Mahkamah Rayuan masih berkhidmat.

Mengenai kes ke-2, Malanjum berkata, siasatan terhadap dakwaan salah laku tidak dapat dijalankan kerana hakim terbabit sudah bersara.

Gesa tubuh RCI

Peguam, Ramkarpal Singh berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menyahut gesaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dengan segera, memandangkan imej dan integriti badan kehakiman dipertaruhkan.

“Hakim bukan tuhan. Mereka pegawai mahkamah yang terikat kepada kod etika paling ketat dan perlu faham mereka boleeh dikenakan tindakan disiplin teruk atas sebarang pelanggaran,” kata ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.

Katanya, kebenaran kandungan afidavit itu tidak boleh diabaikan dan mesti disiasat.

“Saya pasti tidak mudah bagi Hamid melakukan apa dibuatnya. Beliau perlu dipuji atas keberaniannya berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, peguam, A Srimurugan berkata, kandungan afidavit Hamid sekadar tuduhan dan Malanjum perlu diberi peluang menjelaskannya.

“Seseorang tidak boleh anggap kandungan itu benar. Ia adalah penghinaan,” katanya sambil menambah tidak diketahui siapa bertanggungjawab terhadap penyebaran kandungan itu.

Srimurugan berkata, kandungan itu kekurangan fakta dan tuduhan samar itu juga tiada kaitan tindakan difailkan Sangeet.

Katanya, afidavit itu mempunyai kesan mengejutkan terhadap badan kehakiman. Peguam negara sebagai penjaga kepentingan awam, perlu memulakan prosiding penghinaan.