Transparency International Malaysia: Syarikat swasta tak patut buat CSR dengan polis

Presiden TI-M, Datuk Seri Akhbar Satar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan tindakan syarikat swasta menaja lawatan kerja polis ke Turki kerana ia boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk sogokan.

Ini susulan dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang syarikat perjudian, Da Ma Cai menaja lawatan kerja luar negara yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Presiden TI-M, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, tindakan polis menerima tajaan Da Ma Cai tidak profesional, walaupun syarikat itu menjalankan perniagaan sah.

“Ia tidak boleh diterima, tidak kira ia lawatan kerja atau junket yang ditaja Da Ma Cai, Sime Darby atau Resorts World,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebuah agensi kerajaan, apatah lagi polis, perlu mengelak daripada lawatan ditaja syarikat swasta, lebih-lebih lagi apabila lawatan itu boleh mendedahkan polis kepada tuduhan amalan rasuah dan sogokan.”

Beliau berkata, agensi penguatkuasaan akan berada dalam keadaan sukar, jika syarikat yang pernah menaja mereka terbabit dalam sebarang siasatan.

Katanya, syarikat yang berhasrat melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tidak patut menyalurkan wang secara terus kepada agensi penguatkuasaan kerana ia boleh menyebabkan rasuah.

Sebelum ini, gambar Fuzi dan beberapa pegawai kanan polis menyertai rombongan itu disiarkan dalam internet. Menurut laporan, delegasi itu ke Turki untuk mempelajari dasar perjudian dalam talian.

Akhbar berkata, walaupun kerajaan sudah membuat penjelasan, rakyat masih mempunyai persepsi berbeza mengenai lawatan kerja itu.

“Di mata rakyat, ia lebih kepada lawatan percutian berbanding lawatan menjalin hubungan dan pencarian fakta.

“Kalau benar-benar ada keperluan untuk lawatan seperti itu, cukuplah menghantar beberapa pegawai muda untuk bekerjasama dan belajar daripada pihak berkuasa Turki,” katanya.

Lawatan seperti itu, katanya, sepatutnya dibayar oleh kerajaan.

Sebelum inu, bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan berkata tidak wajar polis menerima lawatan kerja yang ditaja syarikat Da Ma Cai.

Beliau berkata demikian selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan syarikat tersebut menaja sekumpulan
pegawai tinggi polis yang diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Dari pandangan undang-unang, kata Hasan, tajaan itu salah sebab syarikat berkenaan mempunyai kepentinangan dalam lawatan terebut.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, matlamat utama lawatan itu adalah untuk membolehkan polis mendapat ilmu mengenai skim dan taktik baru judi haram dalam talian.