‘Wisma Putra urus proses bawa pulang 47 rakyat Malaysia dari Kemboja’

Semua 47 warga Malaysia dibebaskan dari Penjara Provinsi Banteay Meanchey selepas rundingan antara kerajaan Kemboja dan Malaysia. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Wisma Putra akan menguruskan proses membawa pulang semua 47 warga Malaysia yang dibebaskan dari penjara wilayah Banteay Meanchey, lewat petang tadi.

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Mustapha Ahmad Marican berkata, beliau difahamkan Wisma Putra dalam perjalanan ke Banteay Meanchey bagi menguruskan proses dokumentasi semua tahanan terbabit supaya mereka dapat pulang secepat mungkin.

Beliau berkata, semua tahanan berada di pekan Banteay Meanchey dan disajikan sup nasi istimewa Kemboja di sebuah restoran.

“Mereka amat gembira malam ini dan berterima kasih kepada pihak yang berusaha membebaskan mereka. Ini makanan paling istimewa mereka rasa sejak ditahan dan masing-masing tidak sabar untuk berjumpa keluarga.

“Kita masih menunggu ketibaan pihak Wisma Putra untuk menguruskan proses membawa pulang mereka secepat mungkin. Mereka akan ditempatkan di sebuah hotel malam ini sebelum dibawa pulang ke Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Mustapha yang pernah menetap di Kemboja selama 20 tahun, berterima kasih kepada kerajaan Kemboja, terutama Menteri di Jabatan Perdana Menterinya, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan yang banyak membantu dalam pembebasan semua tahanan itu.

“Saya menggunakan pengalaman ketika berada di sini (Kemboja) untuk membantu mereka, niat saya ikhlas.”

Semua 47 warga Malaysia yang ditahan itu dibebaskan lewat petang tadi, selepas beberapa rundingan antara kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Keputusan itu dibuat Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen selepas mendapati semua tahanan itu ditipu sindiket ejen pekerjaan.

Sementara itu, seorang tahanan, Yusuf Islam Abdul Halik bersyukur dibebaskan selepas berada di penjara selama 67 hari.

“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah putus asa dalam membantu serta mendoakan kami. Sekarang kami dah bebas.”