Zimbabwe sedia keluar pelombong haram terperangkap, angka korban dijangka meningkat

Pelombong terperangkap apabila syaf tempat mereka bekerja dinaiki air berikutan sebuah empangan berdekatan pecah. (Gambar Facebook)

HARARE: Pihak berkuasa Zimbabwe dijangka mula mengeluarkan pelombong emas haram yang terperangkap Jumaat, tetapi tiada dijangka selamat daripada banjir di dalam syaf dan angka korban dianggarkan 50 orang, media kerajaan melaporkan.

Kemalangan di Battlefields, 175km di barat Harare, mengetengahkan isu keselamatan dalam kalangan pelombong emas haram, yang pada tahun lepas menyumbang dengan banyaknya kepada output tertinggi negara selatan Afrika sebanyak 33 tan.

Pelombong terperangkap pada malam Selasa apabila syaf tempat mereka bekerja dinaiki air berikutan sebuah empangan berdekatan pecah.

Laporan awal menganggarkan bilangan pelombong yang terperangkap seramai 23 orang, tetapi media kerajaan berkata angka mereka mungkin 2 kali ganda jumlah tersebut.

Sesetengah syaf adalah sedalam 100 meter dan pasukan penyelamat dari lombong berdekatan serta Unit Perlindungan Awam mengepam air keluar dari syaf dan terowong sebelum menyelamatkan kira-kira 50 orang, lapor akhbar The Herald.

Ia berkata, pihak berkuasa tidak menjangka menemui pelombong yang terselamat.

Jurucakap Unit Perlindungan Awam, yang menyelaras kerja menyelamat tidak memberikan komen.

Battlefields dan kawasan berjiran kaya dengan deposit emas dan popular dalam kalangan pelombong tradisional yang menggunakan penggali dan penyodok serta pam air berkuasa letrik. Syaf serta terowong sementara yang dibina mudah runtuh semasa musim hujan apabila tanah menjadi lembut.

Di lombong tinggal, pelombong berkenaan yang dikenali sebagai “makorokoza” dalam bahasa tempatan sering menyelinap masuk menggunakan lampu suluh dan hilang di dalam syaf serta terowong lebih daripada 2 hari.

Mereka menjual emas yang digali kepada subsidiari bank pusat, Fidelity Printers and Refiners atau pembeli persendirian.