Zuraida: Penyewa PPR boleh guna slip bayar sewa sebagai dokumen beli rumah

Zuraida Kamaruddin menyampaikan sijil tawaran sewaan PPR Uda Utama kepada penerima termasuk balu anggota bomba yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat, Oktober lepas. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mempunyai rekod bayaran baik boleh menggunakan slip bayaran masing-masing sebagai dokumen bagi pembelian rumah sendiri pada masa akan datang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata penggunaan slip bayaran sewa itu boleh membantu penyewa terutama yang tidak memiliki slip bayaran gaji dalam memiliki rumah.

Beliau berkata penggunaan slip bayaran sewa sebagai “slip gaji” itu adalah antara kaedah kerajaan bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara semalam bagi memikirkan cara membantu mereka yang tidak memiliki slip gaji seperti peniaga kecil atau bekerja sendiri.

“Penyewa boleh mendapatkan rekod bayaran baik bagi tempoh 3 tahun daripada kerajaan negeri sebagai bukti mereka melakukan bayaran baik setiap bulan dan bank akan menggunakan slip itu sebagai syarat bagi meluluskan pinjaman perumahan mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan PPR Uda Utama di antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri Johor, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dzulkefly Ahmad.

Zuraida, yang juga naib presiden PKR, sekaligus berharap penyewa PPR menjadikan “rumah transit” itu sebagai latihan kepada mereka dalam menyediakan kewangan kukuh sebelum membeli rumah sendiri.

Pada majlis itu, Zuraida turut menyampaikan sijil tawaran sewaan PPR Uda Utama kepada 15 penerima termasuk Noor Nadia Kamaludin, 30, iaitu isteri Allahyarham Mohd Fatah Hashim, anggota bomba yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat remaja 17 tahun di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, Oktober lepas.

PPR Uda Utama bernilai RM78 juta itu menawarkan 500 unit kediaman dengan setiap unit rumah berkeluasan 700 kaki persegi dilengkapi 3 bilik tidur.

Noor Nadia yang ditemui pemberita berkata beliau berterima kasih kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan membiayai kos sewaan rumah PPR Uda Utama itu.

Surirumah itu berkata dia dan 2 anak iaitu Nur Medina Aisya, 4, dan Muhammad Meqa Al-Asyraf, 3, yang kini menginap di kuarters bomba di Kempas, akan berpindah ke PPR Uda Utama, Isnin ini.

“Terima kasih juga kepada kerajaan negeri Pahang dan Johor serta Jabatan Bomba dan Penyelamat atas penyediaan rumah berkenaan,” katanya.