‘Ada ijazah akal kerdil’: Mujahid desak Hadi minta maaf

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof.

PARIT BUNTAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa telah mengeluarkan surat meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan bertajuk “Ijazahnya ada, akalnya kerdil”.

Mujahid berkata, kenyataan yang turut disiarkan oleh Harakah Daily itu walaupun ditulis secara kiasan tetapi beliau percaya merujuk kepada dirinya.

“Berpandukan kenyataan diuar-uarkan dan tular kononnya saya kata Rasullah SAW tidak masuk universiti, tiada ijazah, walhal saya tak kata.

“Tapi yang saya tak kata itulah presiden PAS buat artikel bertajuk ‘Ijazahnya ada, akalnya kerdil’ dan jelas ia secara berkias (kepada) seorang menteri, pastinya itu saya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia daerah Kerian di sini, hari ini.

Menurut Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar, penerbitan artikel tersebut menjejaskan imej beliau selain meluaskan lagi kepalsuan.

Bagaimanapun, Mujahid tidak pasti jika surat tersebut telah dihantar atau sebaliknya oleh pegawai beliau.

“Saya keluarkan surat untuk tarik balik (kenyataan) dan mohon maaf sebab tak mungkin orang buat artikel tapi orang itu tak kata,” katanya, sambil menambah langkah susulan akan diambil berdasarkan tindakan Hadi.