Guru bukan kerani

Sebagai guru Bahasa Melayu yang bertauliah, saya suka menangkap frasa. Sebagai seorang pemuisi yang sensitif, saya suka mentafsir dan menterjemahkan diksi secara variasi.

Maka, sesudah jatuh cinta terhadap semua petikan ayat daripada ucapan Amanat Menteri Pendidikan 2019 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia, saya mula tidak sabar dengan pelaksanaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam meringankan beban guru kerana sebagai pencinta bahasa, saya kurang suka malah kurang selesa dengan angka dan pengiraan.

Jangkaan saya terhadap keberkesanan pengurangan beban guru agak meleset kerana sehingga hari ini, tiada lagi terlaksana. Guru-guru masih lagi dikelilingi fail, masih lagi dibebani tugas sampingan, malah tiada peluang bagi diri sendiri melaksanakan tugas hakiki dengan penuh hormat. Rungutan guru makin kritikal dan bertambah.

Pandangan serong sebegini hampir-hampir melarat kerana hati seorang pendidik yang benar-benar ingin mendidik anak bangsa sedikit terluka. Namun, setelah berkali-kali meneliti ucapan Amanat Menteri Pendidikan 2019, saya mula menggapai maksud yang disampaikan YB Maszlee Malik yang mana beliau menegaskan dalam kerangka meringakan beban guru, untuk memastikan tujuan ini dilaksanakan dengan jayanya, KPM secara telus dan teliti mempunyai perancangan jangka masa pendek, jangka masa pertengahan dan jangka masa panjang.

Apabila cuba lagi meneliti frasa perancangan jangka masa pendek yang menggariskan 9 intervensi, saya mula menyesal dengan emosi saya yang kurang sabar. Barangkali istilah “pendek” itu yang menjadi musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.

Secara perlahan, saya menggerakkan tetikus dan skrin komputer bagi membaca 1 per 1 intervensi yang digariskan, kini barulah saya sedari tidak mungkin sama sekali jangka masa pendek itu bermaksud seminggu, sebulan atau 2 3 bulan. Sekarang, barulah saya memahamkan diri saya sendiri bahawa kalau kita menginginkan perubahan, minda kita kena berubah terlebih dahulu. Daripada membaca tajuk akhbar sahaja, kini saya cuba menyelongkar 1 per 1 amanat Maszlee.

Saya tidak lagi mengharapkan kesan segera daripada 9 intervensi ini dalam kerangka mengurangkan beban guru. Namun, tujuan asal saya memang masih mahukan beban kesemua guru di Malaysia dikurangkan. Sebagai insan biasa, memang seronok kita duduk selesa dan mahu melihat hasil sahaja. Tetapi, tahukah kita prosesnya adalah begitu sukar untuk merungkai segala kerumitan serta kerenah birokrasi yang masih wujud lagi.

Jika pelaksanaan daripada KPM tegas dan jelas, semua hierarki pelaksana mematuhi arahan dan amanah, maka mentari untuk kembali memartabatkan profesion perguruan itu makin bersinar. Insya- Allah, dengan segala kudrat yang dapat saya lihat daripada usaha murni sekarang, warga guru menanti dengan sabar.

Teo Wei Sing adalah seorang pendidik.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.