Hadi digesa perjelas beri ‘restu’ Nik Abduh nafi rakaman suara

Sebagai presiden PAS, Hadi Awang diminta membetulkan kesalahan dan tidak berselindung.

PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu tampil memberi penjelasan berhubung “restunya” terhadap Nik Abduh Nik Aziz supaya menafikan suara dalam rakaman audio mengenai PAS menerima wang dari Umno.

Penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata, jika tidak Hadi akan berdepan kecaman daripada ahli PAS yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.

Beliau berkata walaupun parti itu tidak berpecah, jika kebenaran itu tidak didedahkan dengan segera, parti Islam itu mungkin mengalami defisit kepercayaan orang ramai.

“Bola sekarang berada di tangan presiden untuk menjelaskan kebenaran,” katanya, selepas Ahli Parlimen Bachok yang juga anak pemimpin PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang meninggal dunia pada 2015, mengakui bahawa Hadi memberinya “restu” untuk menafikan suaranya pada rakaman yang mengatakan parti itu menerima RM2 juta dari Umno.

Nik Abduh, pada April tahun lepas, menafikan suaranya dalam rakaman itu dan mendakwa audio itu dibuat untuk mencemarkan imejnya. Kini beliau mengakui rakaman itu adalah suaranya.

Rakaman audio dilihat sebagai bukti utama dalam dakwaan PAS menerima jutaan ringgit daripada Umno sebelum pilihan raya umum ke-14.

Nik Abduh berkata beberapa pemimpin PAS menyuruhnya menafikan perkara itu kerana pilihan raya umum semakin hampir dan Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan isu itu untuk menyerang PAS.

Pada 12 Feb, Nik Abduh akhirnya mengakui beliau adalah individu dalam rakaman audio di mana pengkritik membuktikan parti itu menerima wang dari Umno.

“Jika Hadi mahu dilihat sebagai ketua, dia patut membetulkan kesalahan. Hadi tidak boleh berpura-pura, dan berselindung. Dia tidak dapat melarikan diri,” kata Jeneri kepada FMT.

Beliau berkata satu-satunya cara untuk mengurangkan isu itu adalah dengan menangani tampil dan menangani sebarang syak wasangka mengenai parti itu. Beliau berkata Hadi juga harus menjelaskan alasan pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak 2 kali.

Pejabat Perdana Menteri berkata Dr Mahathir menerima kunjungan Hadi di pejabat Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur pada 15 Februari. Ini adalah kali ke-2 mereka bertemu, yang dilaporkan atas permintaan Hadi.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Azmi Hassan bersetuju bahawa PAS tidak akan berpecah disebabkan isu itu kerana majoriti ahli percaya pemimpin mereka tidak bersalah.

Beliau memberitahu FMT, terdapat versi berbeza berhubung dakwaan RM90 juta yang diterima PAS daripada Umno, oleh sebab itu terdapat kekeliruan berhubung isu tersebut.

“Tetapi ahli keseluruhannya percaya PH menggunakan isu ini untuk mencemarkan imej parti itu. Jadi, Hadi masih dapat mengawal parti,” katanya.

Suara lelaki dalam rakaman audio itu dikatakan membincangkan penerimaan RM2 juta dari Umno, yang mana editor Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle-Brown menghasilkan bukti untuk menyokong dakwaannya bahawa PAS menerima RM90 juta daripada bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Isu itu timbul semula selepas PAS mengumumkan Hadi menyelesaikan saman fitnahnya terhadap SR dan Rewcastle-Brown di luar mahkamah, tanpa perintah untuk kos, dan kedua-duanya terikat kepada kerahsiaan.