KDN belum putus lindungi hakim dedah salah laku dalam mahkamah

Muhyiddin Yassin berkata, siasatan lanjut perlu diteruskan berhubung dakwaan salah laku hakim mahkamah rayuan dan persekutuan.

KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata tiada keperluan untuk melindungi hakim mahkamah rayuan yang mendedahkan campur tangan terbuka badan itu membabitkan salah laku hakim mahkamah rayuan dan persekutuan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin merujuk pendedahan yang dibuat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer melalui afidavit sokongan yang diikrarkan Khamis lepas, dalam saman pemula difailkan anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo terhadap ketua hakim negara.

“Ya, ianya bergantung kepada keadaan. Setakat ini kita masih belum putuskan apa-apa,” katanya kepada media selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Sangeet memfailkan saman pemula itu bagi memohon perisytiharan ketua hakim gegara gagal dalam menjalankan tugas sebagai ketua badan kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan itu.

Sangeet mendakwa, isu itu timbul apabila peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengeluarkan kenyataan keputusan rayuan dalam kes Akta Hasutan mendiang Karpal didakwa diubah akibat campur tangan seorang hakim kanan.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, siasatan lanjut perlu diteruskan berdasarkan dakwaan yang dibuat.

“Terdapat keperluan untuk meneruskan siasatan berdasarkan laporan yang dibuat oleh beliau (Hamid) yang boleh diambil oleh pihak polis atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) atau sesiapa yang berkenaan, saya tak tahu.

“Selepas itu, kita akan lihat kepentingannya sama ada perlu untuk menyediakan perlindungan atau tidak. Setakat ini, saya tak rasa kita boleh berikan jawapan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji sebarang cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap dakwaan tersebut.

Mahathir berkata, beliau tahu mengenai dakwaan Hamid dalam afidavitnya yang membuat pendedahan mengejutkan itu.

“Ya, saya tahu beliau membangkitkan sesuatu tetapi saya tidak boleh beri komen mengenai perkara ini, kerana sebagaimana yang kamu tahu, kita tidak harus memburukkan badan kehakiman secara terbuka, tetapi sudah tentu kita mempunyai pandangan peribadi,” katanya.