Kemenangan PPBM di Semenyih: Penganalisis berbeza pendapat

Penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih diadakan hari ini.

PETALING JAYA: Penganalisis politik terkenal berbeza pendapat berhubung kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih selepas PPBM terpalit beberapa kontroversi baru-baru ini.

Ia susulan penerimaan 7 bekas ahli Parlimen Umno ke dalam PPBM pada Isnin, selain kecaman berterusan terhadap latar belakang pendidikan seorang timbalan menteri yang juga setiausaha agung parti.

Dr Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata kontroversi itu tidak akan menjejaskan PPBM, walaupun ia mungkin tidak dapat mengekalkan majoriti yang sama.

“PPBM bertuah jika ia mengekalkan majoriti yang sama seperti sebelum ini. Perasaan tidak puas hati pengundi bandar dan separa bandar meningkat sekarang.

“Ijazah Marzuki yang tidak diiktiraf tidak menjejaskan sangat kerana Umno tidak kebal terhadap pemegang ijazah seperti itu,” katanya, merujuk kepada Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Beliau juga meragui kemasukan 7 ahli Parlimen Umno terbabit akan meningkatkan peluang kemenangan PPBM di Semenyih.

Manakala, Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata Semenyih akan menjadi tugas berat bagi PPBM.

Beliau berkata persepsi bahawa PPBM tidak mampu melindungi hak-hak Melayu boleh menjadi kunci kekalahan parti itu.

“Terdapat pertelagahan dalaman di PH mengenai 7 bekas ahli Parlimen Umno, dan saya tidak terkejut jika pengundi PH memboikot pilihan raya kecil Semenyih sebagai bantahan kepada PPBM,” katanya, selain menyentuh isu kerjasama Umno-PAS.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian penyandangnya, Mohd Nor pada 11 Jan.

Bakhtiar, yang mendapat 23,428 undi, mengalahkan 3 calon lain dari Umno, PAS dan PSM, dengan majoriti 8,964 undi dalam PRU14.

Setakat ini, PSM, Umno, PPBM dan calon bebas menyatakan hasrat bertanding di kawasan itu. PAS tidak meletakkan calon dan akan menyokong calon pembangkang.

Awal minggu ini, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penerimaan 7 bekas ahli Umno ke dalam partinya.

Mereka adalah Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, bersama 6 wakil rakyat lain, Hamzah Zainuddin (Larut), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mas Ermieyati Samsudin (Tanah Merah) diluluskan menyertai PPBM.

Sementara itu, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata PH masih dilihat orang Melayu dan bukan Melayu sebagai kurang berprestasi. Rakyat juga marah kerana janji PRU14 yang belum ditunaikan.

Menyatakan orang Melayu membentuk 68% pengundi di Semenyih, beliau berkata PH boleh kalah besar jika sebilangan besar mereka memilih untuk tidak mengundi parti pemerintah itu.