Kerajaan Sabah dibentuk oleh ‘katak’, bekas pemimpin Umno bidas pengkritik

KOTA KINABALU: Bekas exco Pemuda Umno Sabah dan ketua Pemuda Papar, Datuk Armizan Mohd Ali membidas setiausaha publisiti Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe kerana menyifatkan kemasukan PPBM ke Sabah sebagai “tikaman ke belakang” kerajaan negeri sekarang.

Bercakap kepada FMT hari ini, Armizan berkata, beliau berasa lucu apabila Phoong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang, bercakap membantah rancangan PPBM untuk menerima bekas pemimpin Umno Sabah sebagai ahli.

“Saya hairan bagaimana pula beliau mahu menyifatkan tindakan Warisan dan PKR yang menerima bekas pemimpin Umno Sabah sebagai ahli parti mereka selepas pilihan raya umum Mei lepas?

“Saya nasihatkan Adun itu supaya tidak terus menipu diri sendiri.

“Tidakkah beliau ingat siapakah yang memulakannya di Sabah?”

Kenyataan Armizan disokong oleh bekas ketua penerangan Pemuda Umno Sabah, Mazlan Johari Manan yang berkata, beliau terkeliru dengan reaksi negatif pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah dan penyokong mereka.

“Saya dapati dakwaan Phoong bahawa kemasukan PPBM ke Sabah dan menerima ‘katak’ daripada Umno Sabah sebagai tidak bermaruah adalah tuduhan liar.

“Kenyataan itu membayangkan beliau lupa tentang apakah yang berlaku sebelum ini.”

Mazlan Johari Manan.

Mazlan berkata, Phoong perlu ingat bagaimana Warisan mendapat kuasa walaupun gagal memperolehi sokongan majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14.

Berikutan “pengkhianatan” Upko, Warisan dan sekutunya dalam PH Sabah berjaya menjatuhkan gabungan Barisan Nasional (BN).

“Phoong melabelkan bekas pemimpin Umno Sabah yang mahu menyertai PPBM sebagai ‘katak;, tetapi beliau lupa tentang Upko, yang melompat parti untuk menyertai Warisan dan PH. Mereka juga ‘katak’ jika mengikut definisi itu.”

Beliau berkata, pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menjelaskan sebab di sebalik keputusan parti itu dan Phoong tidak seharusnya menolak penjelasan perdana menteri itu bahawa ia bertujuan memperkuatkan kerajaan negeri.

“Dr Mahathir telah berikan penjelasan. Daripada berasa terancam, Phoong harus menerimanya dengan lapang dada dan menghormati keputusan parti itu.

Dalam pada itu, sesetengah penyokong Warisan merakamkan rasa tidak senang mereka di media sosial, dengan menggesa presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal supaya terus membantah kemasukan PPBM.

Seorang pemimpin kanannya, Ismail Bungsu, yang juga merupakan pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah, turut menulis di laman Facebooknya mengkritik Dr Mahathir kerana tidak berpegang pada janji yang dibuat dengan Warisan.

Dalam perkembangan berkaitan, wujud spekulasi sekurang-kurangnya 5 wakil rakyat Warisan, termasuk seorang menteri negeri, bersedia untuk menyertai PPBM bersama-sama bekas pemimpin Umno Sabah.