Ketua polis negara pertahan lawatan kerja ke Turki

Fuzi Harun kesal lawatan kerja ke Turki itu disensasikan pihak yang tidak tahu peranan Da Ma Cai.

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mempertahankan tajaan sebuah syarikat perjudian untuk lawatan kerja ke Turki yang diketuainya, dengan berkata Lembaga Totalisator Malaysia memberi “tawaran” kepada polis setiap tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan bentuk “tawaran” itu.

“Memang tiap-tiap tahun mereka tawar kepada kita. Sebab kita bantu mereka dalam usaha mengatasi sindiket haram, bookie dan lain-lain,” katanya dipetik Sinar Harian pada Jumaat.

Fuzi kesal lawatan kerja yang merupakan sebahagian tugas rasmi polis itu disensasikan pihak yang tidak tahu peranan Da Ma Cai dan menyifatkan laporan mengenainya tidak berasas.

“Saya tidak tahu apa motif ada pihak membuat laporan itu. Apa yang pasti, kita ke sana untuk bertugas. Itu adalah tugas rasmi.”

Fuzi meminta pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung lawatan kerja itu bertanya kepada Lembaga Totalisator Malaysia, bukannya menyerang polis.

Sebelum ini, gambar Fuzi dan beberapa pegawai kanan polis menyertai rombongan ke Turki untuk mempelajari dasar perjudian dalam talian, disiarkan dalam internet.

Menurut laporan, rombongan 16 pegawai kanan polis itu menelan belanja lebih RM300,000 ke atas penerbangan kelas perniagaan dan penginapan di hotel 5 bintang.

Rabu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, kementeriannya tidak menanggung kos lawatan kerja itu, walaupun Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan ia ditaja Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.