Kita tidak lagi mewah, contohi ahli PAS, Najib beritahu ahli Umno

Najib Razak berkata, kerjasama dengan PAS kritikal, tetapi Umno hanya boleh bangkit semula dengan sokongan masyarakat lain.

PEKAN: Bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menggesa ahli parti itu supaya menerima kenyataan sebagai pembangkang, dengan berkata, ia bukan lagi kerajaan dan tidak mempunyai wang yang banyak untuk membiayai kegiatannya.

Bercakap kepada ahli Umno Pekan hari ini, 9 bulan selepas peletakan jawatan beliau daripada semua jawatan dalam parti berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas, Najib memuji dedikasi ahli PAS dalam menyokong parti itu dari segi kewangan.

Katanya program PAS dibiayai oleh ahlinya sendiri.

“PAS tidak ada kuasa. Kegiatanya dibiayai melalui derma. Sedangkan apabila kita buat program, kita bertanya sama ada ada sponsor atau tidak.

“Kita mesti ubah paradigma Umno. Masa kita mewah sudah berlalu. Kita sudah dapat banyak kesenangan. Ini adalah peluang untuk memberi balik kepada parti dan tunjukkan kasih sayang kepada parti,” katanya ketika berucap kepada pemimpin bahagian dan ahli parti itu di ibu pejabat Umno Pekan.

“Ia ialah tentang apakah yang boleh kita sumbang kepada parti, bukan apakah yang kita boleh dapat daripada parti.”

Dalam ucapannya itu Najib juga menyuarakan keyakinan bahawa Umno akan bangkit semula dan keluar daripada zaman gerhananya sekarang.

Katanya walaupun kerjasama dengan PAS kritikal, Umno tidak boleh mengabaikan masyarakat bukan-Melayu, termasuk rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kita perlukan sokongan orang Cina dan India. Jangan kita jadi ekstrem. Jangan kita kata tidak perlukan mereka,” katanya.