Kritik usaha polis banteras kumpulan pengganas memalukan, kata pakar

Tangkapan terbaru melibatkan kumpulan Daesh membuktikan Malaysia masih menjadi pangkalan untuk kumpulan militan beroperasi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:Pakar anti-keganasan membidas segelintir individu, termasuk tokoh agama, yang didakwa cuba memperlekeh usaha polis membanteras kumpulan pengganas seperti militan Daesh.

Ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri, Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, mana-mana pihak yang tidak arif tentang selok belok keganasan harus berhenti membuat tuduhan melulu terhadap polis dengan mendakwa tindakan pihak berkuasa itu tidak betul atau sebagainya.

“Kenyataan dangkal oleh individu yang tidak tahu cerita sebenar dengan membuat tuduhan melulu tanpa memahami isu sebenar adalah memalukan.

“Daesh berlegar dan bermain dengan pelbagai elemen berkaitan pendanaan, perhubungan, ajaran, politik, jenayah dan lain-lain. Bukan hanya yang dilihat dari mata kasar sahaja.

“Pihak yang tidak arif dengan aktiviti keganasan lebih baik fokus kepada bidang tugas sendiri dan tidak mencampuri urusan pihak berkuasa dengan membuat pelbagai tuduhan kononnya mereka sahaja yang betul dan orang lain salah dalam membanteras keganasan,” katanya kepada FMT.

Mohd Mizan Mohammad Aslam

Mizan mengulas kenyataan beberapa individu yang mempersoalkan tindakan polis dalam membanteras aktiviti keganasan, termasuk kumpulan Daesh.

Katanya, pihak polis tidak akan mensasarkan mana-mana kumpulan jika ia tidak mengancam orang awam.

“Penangkapan terbaru oleh polis membuktikan ancaman Daesh bukanlah cakap kosong. Ia (ancaman) tidak boleh dipandang sepi. Negara aman disebabkan kompetensi polis dalam mengekang dan mencegah aktiviti keganasan,” katanya.

Terbaru polis menahan 6 individu, termasuk 4 warga asing dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas dalam beberapa operasi di Johor, Selangor dan Sabah dari 19 Dis hingga 28 Jan lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Muhamad Fuzi Harun berkata, suspek yang diberkas terdiri daripada 2 warga tempatan serta masing-masing seorang dari Singapura, Bangladesh, Filipina dan sebuah negara di Asia Selatan.

Mizan berkata, tangkapan terbaru melibatkan kumpulan Daesh membuktikan Malaysia masih menjadi pangkalan untuk kumpulan militan beroperasi.