Pekeliling viral: Pemimpin MCA pertahan kritikan selepas disoal siasat polis

Chan Quin Er dipanggil polis untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan, pada Jumaat.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin MCA mempertahankan tindakannya mengkritik pekeliling bocor mengenai arahan mempercepatkan pendengaran kes berprofil tinggi, selepas disoal siasat Bukit Aman.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Chan Quin Er melalui Facebooknya mempersoalkan kebebasan Jabatan Peguam Negara berdasarkan sepucuk surat tersebar di Twitter minggu lalu.

Katanya, punca utama beliau membuat kenyataan itu kerana tiada keperluan untuk timbalan pendakwa raya di bawah Jabatan Peguam Negara menerima arahan Putrajaya.

“Timbalan pendakwa raya boleh membuat kerja mereka dan tidak memerlukan campur tangan, iaitu arahan dan peringatan daripada peringkat eksekutif atau perdana menteri, mengenai cara melakukan pendakwaan kes serta kerja mereka.

“Jadi, kenyataan saya datang dari sana — sebuah tempat penghormatan dan kepercayaan dalam profesionalisme serta kecekapan pegawai Jabatan Peguam Negara, khasnya timbalan pendakwa raya,” katanya kepada FMT.

Chan yang dipanggil untuk membantu siasatan isu itu, tiba di Bukit Aman pada 9.30 pagi Jumaat dan keluar 3 jam kemudian, tetapi telefon pintarnya dirampas polis.

Chan memberitahu FMT, beliau dipanggil polis untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Chan mengulangi keperluan mengasingkan fungsi pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara seperti dijanjikan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berharap siasatan polis tidak akan menjadi pendakwaan “terpilih” disebabkan kaitannya dengan MCA kerana beliau hanya “anak ikan” dalam parti itu yang menyertai politik tahun lalu.

Surat viral itu ditandatangani Peguam Cara III, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, yang meminta usaha menangguhkan kes berkaitan “kerajaan kleptokratik” terdahulu “ditolak sekeras-kerasnya”.

Sebelum ini, Chan dilaporkan berkata, salah menggunakan istilah “kleptokrasi” yang dicipta peguam negara Amerika Syarikat (AS) untuk merujuk rampasan aset dikaitkan dengan 1MDB oleh Jabatan Kehakiman AS.

Minggu lalu, Chan yang merupakan bekas peguam persekutuan dengan Jabatan Peguam Negara melalui Facebooknya berkata, dakwaan seperti itu “tidak pernah disiasat, apatah lagi dibuktikan atau sudah terdapat sabitan di mahkamah”.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh menggunakan istilah itu “secara sah dan logik”, yang kemudiannya dipopularkan ahli politik PH menjelang PRU14.

Chan turut mendakwa surat itu “secara jelas menyarankan Jabatan Peguam Negara menerima arahan daripada perdana menteri”.

Ia selepas mesyuarat Kabinet pada 19 Disember 2018, di mana Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan pendakwaan membabitkan kes rasuah terhadap sesetengah “individu tertentu” perlu diteruskan mengikut jadual.