Pertandingan 4 penjuru di Semenyih

PRK Semenyih akan menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara (dari kiri) Nik Aziz Afiq Abdul dari PSM, calon bebas Kuan Chee Heng. Aiman Zainali (PPBM) dan Zakaria Hanafi (Umno).

KAJANG: Penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih hari ini menyaksikan 4 parti akan bertanding iaitu PPBM, Umno, PSM dan calon bebas.

Calon yang bertanding dalam pertembungan 4 penjuru itu ialah Aiman Zainali dari PPBM, Zakaria Hanafi (Umno), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang”.

Nama mereka diumumkan oleh Pegawai Pengurus Mohd Sayuthi Bakar pada penutupan pencalonan pada jam 11 pagi di Dewan Seri Cempaka.

Kempen akan berlangsung selama 14 hari. Hari mengundi awal ditetapkan pada 26 Feb, sementara hari mengundi ditetapkan pada 2 Mac.

Sebanyak 54,503 pengundi berdaftar, termasuk 51 pengundi awal dan 32 pengundi tidak layak untuk mengundi.

Penyokong PH mengiringi calon PPBM, Aiman Zainali ditemani Azmin Ali di pusat penamaan calon.

Terdapat 26 pusat pengundian dengan 119 aliran pengundian disediakan untuk mempercepat proses pengundian.

Seramai 992 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertugas sepanjang tempoh pilihan raya, dengan kos kira-kira RM1.8 juta.

PRK tersebut ditetapkan selepas kematian penyandangnya, Bakthiar Mohd Nor dari PPBM, yang memenangi pertandingan 4 penjuru pada PRU14 dengan majoriti 8,964 undi.

Zakaria, 58, adalah bekas pengerusi tetap cawangan Umno Kampung Sesepan Kelubi. Beliau kini menjadi ahli Umno biasa.

Calon Umno, Zakaria Hanafi (bersongkok) tiba di pusat penamaan calon ditemani Mohamad Hasan (4 dari kanan)

Calon PPBM, Aiman, 30, merupakan bendahari PPBM Hulu Langat. Beliau yang juga jurutera elektrik adalah menantu Bakhtiar.

Sementara itu, Nik Aziz, 25, ialah pemilik perniagaan urut tradisional dan Kuan, 56, adalah aktivis yang juga bekas pegawai polis.