PPBM ancam Warisan, bukan Umno Sabah, kata Bung Mokhtar

Pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pengumuman oleh pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu akan melebarkan sayapnya ke Sabah mengejutkan banyak pihak, terutama pemimpin Warisan yang sehingga semalam masih percaya PPBM akan berpegang pada janjinya untuk tidak masuk ke negeri itu.

Keputusan itu bagaimanapun diterima baik oleh Umno Sabah dan juga bakal ahli PPBM di negeri berkenaan.

Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengalu-alukan keputusan PPBM untuk masuk ke negeri itu dengan berkata, keputusan tersebut menguntungkan Umno kerana PPBM bukan ancaman terhadap Umno di Sabah.

“Sebaliknya, parti yang terancam ialah Warisan. Mereka yang meninggalkan Umno yang dikatakan berjumlah kira-kira 80,000 orang sudah bersedia untuk menyertai PPBM.

“Oklah. Itu lebih baik kerana kita tahu mereka yang kekal bersama kita benar-benar ikhlas dan jujur dengan perjuangan Umno. Kita akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang,” katanya kepada FMT.

Pada zaman kemuncaknya, Umno Sabah dilaporkan mempunyai sehingga 500,000 ahli di kesemua 26 kawasan Parlimennya, termasuk Labuan.

Pendapat Bung Mokhtar dipersetujui penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Arnold Puyok, yang berkata, PPBM mahu menempatkan diri di kawasan Bumiputera-Islam bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Umno.

“Saya jangka langkah PPBM ini adalah usahanya untuk muncul sebagai pemain alternatif yang kuat di Sabah.

“Lambat-laun ia akan menjadi pesaing Warisan,” katanya.

Puyok sebelum ini berkata, langkah PPBM mengembangkan sayapnya ke Sabah akan menimbulkan dilema kepada parti tempatan, Warisan, kerana komuniti Bumiputera-Islam mungkin akan lebih tertarik pada PPBM yang merupakan sebuah parti berteraskan Melayu.

Beliau berkata, falsafah kepelbagaian kaum Warisan mungkin tidak cukup menarik kepada komuniti Bumiputera-Islam yang mahukan satu platform politik yang dilihat memperjuangkan kepentingan mereka.

Platform itu yang disediakan oleh Umno sebelum ini, mungkin akan diambil alih oleh PPBM.

Dalam pada itu, bekas timbalan ketua penerangan Umno Sabah, Datuk Ramlee Marhaban, yang keluar parti bersama-sama pimpinan Umno negeri itu Disember lepas, mengalu-alukan langkah berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana menerima permintaan rakyat Sabah.

Beliau mengesahkan bahawa kesemua bekas pimpinan Umno Sabah, yang kini tidak berparti, akan menyertai parti nasional itu sebaik sahaja ia ditubuhkan secara rasmi di negeri tersebut.

“Saya fikir ia langkah yang baik kerana ia memberi manfaat kepada rakyat Sabah dalam jangka panjang. Saya tidak faham kenapa ada pihak yang tidak senang. Dr Mahathir telah menyebut bahawa ia akan memperkuatkan kerajaan negeri.

“Saya percaya ini akan memastikan Sabah dapat meneruskan pembangunan ekonominya dengan lebih lancar,” katanya.

Beliau mendakwa, majoriti ahli yang meninggalkan Umno Sabah tidak berminat menyertai Warisan, sekali gus menjadikan PPBM pilihan yang lebih sesuai.

Beliau menggesa rakyat Sabah, terutama pemimpin PH negeri itu dan Warisan supaya melihat perkembangan terbaru itu secara positif dan tidak cuba menghalang keputusan PPBM.

“Ia sudah pasti akan menstabilkan keadaan politik di Sabah dan akhirnya rakyat akan menjadi lebih gembira,” dakwa beliau.

Bekas setiausaha Umno Sabah, Datuk Masidi Manjun, yang turut keluar parti berkata, wakil rakyat bebas terbabit, iaitu 5 ahli Parlimen, 8 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), 2 senator dan semua bekas ketua bahagian Umno akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.

Mereka kini menunggu kepulangan ketua kumpulan tersebut yang juga Adun Sulaman, Datuk Hajiji Mohd Noor, daripada menunaikan umrah.

“Kami akan bermesyuarat selepas dia (Hajiji) balik. Dia dijangka balik selepas 23 Feb depan. Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mesyuarat itu,” katanya.