PPBM ke Sabah tak lemahkan Warisan, kata penganalisis

Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan PPBM akan mengembangkan sayapnya ke Sabah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat kemasukan PPBM ke Sabah tidak akan melemahkan Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal di negeri itu.

Bekas pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff melihat tumpuan PPBM adalah untuk menguatkan kedudukannya di Parlimen.

“Tumpuan dia adalah untuk menguatkan kedudukannya di Parlimen dan memperjuangkan Parlimen. Warisan pula dalam konteks Sabah dan perjuangannya di Sabah.

“PPBM dan Warisan ini bolehlah bekerjasama bagi membantu memperjuangkan kedudukan pribumi di Sabah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan PPBM mengembangkan sayapnya ke Sabah bukan untuk menentang Shafie, sebaliknya mahu menguatkan lagi kerajaan negeri.

Dr Mahathir berkata dengan adanya PPBM di Sabah juga dapat menguatkan lagi Pakatan Harapan (PH) di negeri itu dan membuka peluang kepada bekas ahli Umno menyertai parti itu.

Kamarul berkata, Warisan boleh “menggunakan” pemimpin PPBM di Sabah untuk membolehkan suara mereka didengari Dr Mahathir.

Mengulas mengenai kemasukan PPBM di Sabah akan menambahkan agihan kerusi parti itu semasa pilihan raya umum akan datang, Kamarul berkata perkara itu perlu perundingan antara parti yang terlibat.

“Perkara itu juga tidak patut jadi persoalan, seperti Dr Mahathir sebut walaupun Warisan bukan parti komponen PH, tetapi mereka masih diberi jawatan menteri-menteri Kabinet dan jawatan lain,” katanya.

Beliau turut melihat kemasukan PPBM itu akan menyebabkan Warisan mengkaji kedudukan mereka untuk bekerjasama dengan PH.

“Saya tak rasa langkah ini akan membuatkan Warisan mengkaji kedudukannya, sebab ini tidak akan merugikan mereka kalau membuat sesuatu tindakan yang negatif dan keras.”