PRK Semenyih: SPR sasar 70% keluar mengundi

Penyokong PH membanjiri perkarangan Dewan Sri Cempaka sempena penamaan calon PRK DUN Semenyih.

KAJANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan sebanyak 70% pengundi keluar mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih.

PRK tersebut akan berlangsung pada 2 Mac ini dan tarikh pengundian awal ditetapkan pada 26 Februari akan datang.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya meletakkan sasaran tersebut selepas melihat dinamik penyokong dan pengundi di kawasan tersebut.

“Saya dapat rasa dinamik pada PRK kali ini, jadi 70% itu mungkin boleh dicapai,” katanya pada satu sidang media selepas pengumuman penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, hari ini.

SPR mengumumkan, tiada pencalonan yang dibatalkan dalam proses penamaan calon hari ini. Sebanyak 4 calon mengemukan kertas pencalonan dan semua proses siap dalam masa yang pantas.

“Proses penamaan calon paling pantas dalam semua PRK kali ini. Pukul 9.45 pagi sudah selesai,” katanya.

SPR menerima kertas penamaan calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali pada jam 9.03 pagi. Manakala calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi pada jam 9.05 pagi, calon bebas, Kuan Chee Heng serta calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing pada jam 9.10 pagi.

Nama mereka diumumkan Pegawai Pengurus Mohd Sayuthi Bakar pada penutupan pencalonan pada jam 11 pagi.