Putera Mahkota Saudi dituduh biadap naik ke bumbung Kaabah

Gambar klip video menunjukkan putera mahkota Saudi, Mohammed bin Salman, berjalan di bumbung Kaabah.

PETALING JAYA: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dikecam ramai selepas dilihat berjalan di bumbung Kaabah pada Selasa lalu.

Putera berpengaruh yang juga dikenali sebagai MBS itu dilaporkan melawat Kaabah bagi memeriksa kerja pembinaan untuk mengubah suai dan membesarkan kompleks Masjidil Haram yang mengelilinginya.

Kerajaan Arab Saudi kerap menonjolkan penguasaannya terhadap tanah suci Makkah dan Madinah, dengan Raja Salman mengaku dirinya “Penjaga Dua Tanah Suci”, merujuk kepada Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Lawatan MBS yang dilihat sebagai pemimpin de facto negara itu berlaku sewaktu beliau dikritik hebat dalam beberapa tindakannya terhadap pengkritik kerajaan, persengketaan dengan Iran, campur tangan Riyadh di Yaman dan penglibatannya dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di Istanbul oleh ejen di bawah arahannya.

MBS turut menjadi sasaran pengguna laman sosial yang mengkritiknya.

Seorang pejuang hak wanita mendakwa putera itu cuba melunakkan kumpulan Islam dengan lawatan itu berikutan “bantahan” yang diakibatkan oleh “reformasi liberalnya”.

MBS dikritik oleh kelompok konservatif kerana menamatkan kawalan sosial kerajaan Saudi yang kerap dikritik seperti larangan memandu kereta ke atas wanita.

Beliau turut dikritik kelompok liberal kerana tindakan kerasnya terhadap aktivis wanita dan pengkritik lain.

Lawatan terkini di Makkah bagaimanapun mengundang tuduhan putera itu menjadikan kota suci itu sebagai “taman bunganya”.

Seorang pengguna laman sosial menggelar MBS sebagai “penjenayah” dan mengutuk lawatan itu.

Ada juga yang mencemuh foto putera itu berdiri dan bersalat di dinding Kaabah, menyamakannya dengan perbuatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berdoa ala Yahudi di Tembok Barat di Baitulmaqdis.