Rakyat buat aduan isu setempat melalui i-Tegur

Wan Azizah Wan Ismail (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan di Bangunan Perdana Putra, semalam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-73 semalam meluluskan kertas cadangan untuk menjadikan aplikasi i-Tegur sebagai saluran bagi rakyat membuat sebarang aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan berkata pengguna boleh menghantar aduan bergambar bersama lokasi tepat melalui telefon pintar bagi membolehkan PBT mengambil tindakan terhadap sebarang aduan diterima.

“Aplikasi ini akan membantu PBT dalam pengurusan aduan yang lebih cekap dan cepat seiring dengan perubahan demografi dan gaya hidup masa kini,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu turut meluluskan 3 kertas cadangan lain, melibatkan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) dan Garis Panduan Pengurusan dan Penyelenggaraan Kolam Renang di kawasan PBT.

Selain itu, kertas cadangan yang turut diluluskan ialah Garis Panduan Pemantauan Kualiti Air Kolam Renang oleh Kementerian Kesihatan.