Salah laku kehakiman: Kerajaan terbuka kepada semua opsyen

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong. (Gambar Bernama)

SANDAKAN: Kerajaan terbuka kepada semua pilihan, termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung tindakan yang perlu diambil terhadap dakwaan seorang hakim Mahkamah Rayuan mengenai salah laku dalam badan kehakiman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan memandang dakwaan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer sebagai “amat, amat serius” kerana ia menjejaskan institusi kehakiman.

“Saya memahami bahawa pihak kehakiman membuat laporan polis terhadap dakwaan itu menerusi hakim berkenaan (Hamid Sultan) dan saya percaya siasatan akan dijalankan tidak lama lagi. Jadi, kita akan tunggu (hasil siasatan) nanti.

“Kita tidak akan meninggalkan mana-mana pihak (dalam siasatan). Tidak akan ada penyembunyian (penemuan salah laku),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi di sini, hari ini.

Pada Rabu lepas, Hamid Sultan mengemukakan afidavit setebal 63 halaman yang mendedahkan butiran maklumat berhubung campur tangan kehakiman dalam badan kehakiman Malaysia, termasuk dakwaan campur tangan kehakiman terhadap bekas ahli Parlimen Bukit Gelugor, yang juga pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh atas keputusan rayuan kes hasutan di Mahkamah Rayuan.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji sebarang cadangan untuk menubuhkan RCI terhadap dakwaan salah laku kehakiman.