Tinggal parti yang lupa perjuangan, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru pemimpin politik supaya meninggalkan parti masing-masing jika ia lupa akan perjuangan asalnya.

Pengerusi PPBM itu berkata, seseorang individu sepatutnya menyertai sesebuah parti politik untuk menyokong perjuangan parti itu, bukannya sekadar menjadi ahli parti semata-mata.

“Parti pemerintah sebelum ini wujud bagi mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara, tetapi berpuluh tahun kemudian, mereka sudah lupa perjuangannya dan mula menyalahgunakan kuasa.

“Jadi jika parti itu menyimpang daripada perjuangannya, rakyat tidak patut menyokongnya meskipun terpaksa tinggalkan parti, sanggup bekerjasama dengan parti lawan atau sedia menentang parti yang pernah disokong,” katanya ketika berucap dalam Pesta Demokrasi Forsea Kuala Lumpur 2019, di sini, hari ini.

Kata Dr Mahathir, jika rakyat kekal setia dengan perjuangan untuk membangunkan negara, perubahan dan reformasi yang diingini dalam pentadbiran kerajaan pasti akan tercapai.

Dr Mahathir mungkin merujuk kepada 7 ahli Parlimen Umno yang menyertai PPBM baru-baru ini, iaitu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Tanah Merah).

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyuarakan kebimbangan berhubung janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lepas.

Katanya, sebuah kerajaan yang dipilih dalam pilihan raya pada mulanya berjanji akan berkhidmat kepada rakyat, tetapi apabila ia memperoleh kuasa, mereka yang berkuasa akan menggunakannya untuk menjadi kaya dan menindas rakyat.

“Malangnya, PH masih tidak dapat menunaikan semua janjinya. Selepas ini rakyat mungkin cuba untuk menukar kerajaan sekarang ini.

“Jika kerajaan PH bertahan dengan cukup lama, ia mungkin akan berkelakuan seperti kerajaan terdahulu, mereka akan mula menentang rakyat dan tidak dapat menerima sebarang kritikan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau sedar bahawa kerajaan PH perlu menunaikan janjinya.

“Rakyat tentu sahaja ada yang tidak bersabar.

“Mereka mahu melihat perubahan sekarang, tetapi sama ada mereka suka atau tidak, mereka perlu bersabar dengan kami,” katanya.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata, beliau menganggap Malaysia sudah berjaya mencapai satu tahap kebebasan yang baik.

“Demokrasi di Malaysia, boleh dianggap berjaya dicapai. Perubahan kerajaan dapat dilakukan menerusi sistem pilihan raya, tanpa sebarang pertumpahan darah,” katanya.