TPM: 47 tahanan Malaysia di Kemboja pulang esok

Wan Azizah Wan Ismail menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Semua 47 tahanan Malaysia di Kemboja yang telah dibebaskan semalam dijangka pulang ke tanah air seawal pagi esok, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata beliau telah menghubungi Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien untuk mengetahui perkembangan terkini dan difahamkan mereka akan dibawa pulang pada kadar segera.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, mereka dijangka sampai esok pada 10.30 pagi. Pelbagai susunan dan perbincangan telah diadakan dan atas usaha ini, terima kasih kepada semua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam mengesahkan semua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey dibebaskan pada 6.30 petang waktu Kemboja (7.30 malam waktu Malaysia).

Pada 7 Feb, Kementerian Luar mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Dis lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.