Tutup Jalan TAR: Kerajaan jumpa peniaga minggu depan

Datuk Bandar KL, Nor Hisham Ahmad Dahlan mengesahkan menerima memorandum daripada peniaga yang tidak berpuas hati dengan keputusan menutup Jalan TAR. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Satu perjumpaan dengan peniaga sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) akan diadakan minggu depan susulan pengumuman kerajaan menutup jalan itu kepada kenderaan persendirian bermula 15 Mac tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad akan turut sama dalam perjumpaan itu, bagi mendapatkan maklumat balas peniaga.

“Kita mengambil kira (pendapat) semua. Apa-apa pun (keputusan akhir) kita tunggu perjumpaan dengan menteri Wilayah Persekutuan Khalid dan YB (ahli Parlimen) terlibat,” katanya ketika mengulas mengenai peniaga yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Beliau ditemui selepas pelancaran rasmi laluan penghubung di antara Jalan Kelang Lama dan Lebuhraya Pantai Baru melalui jambatan menyeberangi Sungai Kelang (OKR-NPE Link Bridge).

Menurut Nor Hisham pihaknya semalam ada menerima memorandum daripada peniaga, yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

Bagaimanapun katanya, selain peniaga, kerajaan turut mengambil kira pendapat orang ramai melalui kaji selidik dalam talian, yang diadakan sejak 11 Feb dalam membuat keputusan itu yang mana mendapati 65% daripada hampir 4,000 orang merangkumi peniaga dan orang awam bersetuju dengan keputusan itu.

Beliau turut menjelaskan satu perjumpaan dengan peniaga juga ada dilakukan sebelum keputusan itu dibuat, tetapi ia tidak disertai semua pihak.

Selasa lalu, Khalid mengumumkan Jalan TAR bermula dari Jalan Esfahan berhampiran Sogo hingga ke Jalan Melayu akan ditutup kepada semua kenderaan persendirian, kecuali bas awam dan pelancongan.

Ini bertujuan menjadikan jalan sepanjang kira-kira satu kilometer itu sebagai laluan bebas kenderaan atau pedestrian mall.

Keputusan itu bagaimanapun ditentang peniaga yang sepakat mahu operasi perniagaan sepanjang laluan itu ditutup sebagai tanda protes.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) Datuk Ishak Mohamed berkata, OKR-NPE Link Bridge yang bermula pada 2015 dibuka kepada orang ramai pada 18 Nov 2018 bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Klang Lama dan sekitar Seputeh.

OKR-NPE Link Bridge juga merupakan jalan alternatif dari Jalan Klang Lama ke Subang, Klang, Petaling Jaya dan Bangsar.