Dakwaan serang Syed Saddiq, polis tahan Papagomo

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Azri Wan Deris ditahan pada 3 petang tadi dan kes berkenaan masih dalam siasatan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Penulis blog kontroversi Papagomo ditahan di sekitar Wangsa Maju hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa beliau dikasari dan diugut blogger berkenaan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan penahanan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Beliau berkata, Papagomo ditahan pada 3 petang tadi dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Semalam, 2 laporan polis berkaitan insiden melibatkan ahli Parlimen Muar berkenaan dibuat setelah berlangsung penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih dan disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff semalam, polis menerima 2 laporan mengenai insiden itu daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

Berikutan insiden itu, Syed Saddiq membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya, dekat sini, semalam.

Klip video di media sosial memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih, tular semalam.

Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar sekumpulan lelaki.