Di Cameron Highlands lawan calon DAP, di Semenyih PPBM, itulah maksud komitmen berbeza, kata PAS

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, maksud komitmen berbeza merujuk kepada lawan BN di Cameron Highlands adalah calon bukan-Melayu mewakili DAP.

SEMENYIH: Pemimpin PAS berkata, maksud komitmen parti itu berbeza dalam memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) di Semenyih berbanding Cameron Highlands adalah kerana lawannya datang daripada parti yang berbeza.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, maksud komitmen berbeza itu merujuk kepada lawan BN pada masa itu ialah calon bukan-Melayu mewakili DAP.

“Komitmen tak sama maksudnya di Cameron Highlands kita (PAS) berlawan dengan DAP, calon bukan-Melayu, sedangkan di sini calonnya Melayu, jadi kita mesti guna pendekatan berbeza. Itu maksudnya,” katanya menjelaskan kenyataan setiausaha agung parti itu Datuk Takiyuddin Hassan, yang menyebut tahap komitmen PAS serta kadar penglibatan yang berbeza keadaannya dalam PRK Semenyih berbanding Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai bekas naib presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menemui penduduk Semenyih di pasar malam Sri Jenaris di sini, hari ini.

Katanya, komitmen PAS untuk memenangkan calon BN tetap tinggi dan merupakan matlamat dan agenda parti itu dalam PRK kali ini.

“Calon PAS dapat 6 ribu lebih undi di sini dalam pilihan raya umu ke-14 lalu, kita beri komitmen untuk pastikan undi itu akan diberi kepada BN kali ini. Kita harap semua pengundi dan penyokong PAS akan keluar mengundi,” katanya.

Takiyuddin dalam kenyataan hari ini berkata, untuk PRK Semenyih parti itu tidak memberikan tahap pembabitan yang sama seperti di Cameron Higlands kerana keadaannya berbeza.

Kata beliau, pendirian itu selaras dengan sikap PAS yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi hal-hal lain, selain berkata, hubungan parti itu dengan Umno dalah di atas dasar perpaduan umah dan solidariti pembangkang.

Ketika ditanya sama ada penyokong akar umbi PAS berpuas hati dengan calon BN, Hanafi Zakaria, pada PRK kali ini, Roslan berkata, mereka amat berpuas hati.

“Pengundi PAS berpuas hati dan menganggap BN meletakkan calon terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin ketika diminta mengulas kenyataan Takiyuddin, berkata tidak tahu maksud sebenar setiausaha agung PAS itu, tetapi berdasarkan keadaan di akar umbi, kerjasama PAS-Umno berjalan dengan baik.

“Saya tak tahu, tetapi apa yang saya lihat di bawah hari ini sehari suntuk, hubungan yang wujud antara Umno dan PAS sangat baik. Mungkin kalau ditanya Datuk Seri Shahidan Kassim tadi, ia lebih baik daripada Cameron Highlands.

“Walau apapun yang penting ialah keikhlasan dan kejujuran kita untuk bersama-sama rapatkan orang Melayu-Islam negara kita. Itu jadi pegangan kita. Bila lihat calon kita, saya cukup puas hati tentang kerjasama antara PAS-Umno di Semenyih,” katanya.

PRK Semenyih pada 2 Mac depan menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara calon PPBM-PH, Aiman Zainali dengan Zakaria Hanafi (Umno-BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas. Kuan Chee Heng.

Sebanyak 54,503 pengundi berdaftar, termasuk 51 pengundi awal, dijangka mengundi dalam pilihan raya ini.

PRK kali ini diadakan berikut kematian penyandangnya, Bakthiar Mohd Nor daripada PPBM yang memenangi persaingan 4 penjuru dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan calon BN, PAS dan PSM. Beliau mendapat 23,428 undi.