KKM tutup Mawar Medikal Centre demi kepentingan pesakit

Operasi Mawar Medikal Centre ditutp setelah pusat perubatan itu gagal mematuhi keperluan perundangan.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan tindakan menutup operasi Mawar Medical Centre (MMC) diambil secara terburu-buru tanpa memikirkan kebajikan pesakit dan kakitangan premis tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa bertindak dengan pantas demi menjaga kemaslahatan semua pesakit.

“Kementerian juga ingin menyangkal dakwaan pegawai penguatkuasa kementerian tidak membenarkan staf premis mengambil barangan peribadi mereka mengarahkan staf tidak hadir bekerja pada 15 Februari 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, KKM dilaporkan menutup pengoperasian MMC setelah mendapati pusat perubatan itu gagal mematuhi keperluan perundangan bagi memastikan premis tersebut mempunyai lesen untuk beroperasi.

“Lesen Mawar Medical Centre dibatalkan pada 14 Dis tahun lepas. MMC juga didapati gagal mematuhi arahan ketua pengarah kesihatan untuk memastikan semua pesakit dialisis daripada MMC mendapat rawatan selanjutnya di hospital swasta atau pusat hemodialisis swasta lain yang berlesen selaras dengan ketetapan Peraturan 320(c), Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006,” katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata isu pelesenan yang dihadapi MMC berpunca daripada masalah dalaman yang membawa kepada peletakkan jawatan semua doktor pakar yang berkhidmat dalam tempoh 24 jam.

Malah, katanya, MMC juga berdepan tiada pendapatan sehingga gaji Februari 2019 tidak dapat bayar, ketiadaan kakitangan menyebabkan pesakit dialisis tidak dapat menerima rawatan rapi, selain memohon kementerian menempatkan semua pesakit ke pusat hemodialisis yang lain dengan segera.

“Premis juga menampal notis untuk memaklumkan rawatan dialisis hanya akan disediakan sehingga 14 Februari 2019 sahaja dan pesakit diminta membuat perancangan sendiri untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.