Saya hanya tengok gambar Papagomo peluk Syed Saddiq, kata Najib

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman mendakwa penulis blog Papagomo mencekak lehernya di luar pusat penamaan calon PRK Semenyih semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta orang ramai mengemukakan rakaman video dan gambar berhubung dakwaan Papagomo menyerang Menteri Beliau dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam, dengan berkata beliau tidak nampak Papagomo mencekak leher menteri itu.

“(Video) yang saya pernah tengok hanya gambar Azri peluk bahu dia,” kata bekas perdana menteri itu di laman Facebooknya, merujuk kepada nama sebenar Papagomo, Wan Azri Wan Deris.

Najib berkata, terdapat ramai saksi berhampiran tempat kejadian yang mungkin telah mengambil gambar dan video yang lebih jelas mengenai insiden tersebut.

Semalam, Syed Saddiq membuat laporan polis yang mendakwa beliau diserang dan diugut oleh Papagomo dan penyokong pembangkang semasa proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Saya tidak tahu niat sebenar Papagomo apabila beliau tiba-tiba mencekak leher saya dengan kuat apabila saya dan 3 kawan meninggalkan pusat penamaan calon,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.

Rakaman video berdurasi 22 saat menunjukkan menteri itu dikepung dan dikejar sewaktu beliau berjalan menuju keretanya tular semalam.

Papagomo yang merupakan anggota exco Pemuda Umno menafikan beliau menyerang Syed Saddiq, sementara ketua pergerakan itu, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki meminta ahli Parlimen Muar itu supaya berhenti “bersandiwara”.

Dalam pada itu Bernama melaporkan polis akan memanggil Papagomo bagi membantu siasatan.

Ketua polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, penulis blog itu akan dipanggil secepat mungkin.

“Kita akan panggil dia dan individu yang terlibat dalam klip video berkaitan dakwaan menteri diserang untuk merekodkan kenyataan mereka,” katanya.

Bernama juga melaporkan Syed Saddiq menafikan beliau memprovokasi penyokong yang hadir ke situ selepas beberapa pihak menyalahkan beliau atas kejadian yang berlaku.