PAS tak sokong Umno kerana ‘berseteru’ dengan PPBM, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika menghadiri majlis pelancaran Dasar Komuniti Negara, hari ini.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PAS mengaku tidak menyokong Umno kerana lawan parti Melayu itu bukanlah DAP, sebaliknya PPBM.

“Dalam pertemuan tempoh hari, (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang, (Datuk) Takiyuddin Hassan dan (Ahmad) Samsuri Mokhtar mengaku mereka tidak sokong Umno kerana yang lawan Umno kali ini bukanlah DAP tetapi PPBM, namun mereka tidak mahu mengisytiharkan perkara itu.

“Apabila saya dengar ada penafian, terpaksalah saya beritahu apa yang sebenarnya berlaku. Mereka tidak kata mahu sokong PPBM atau Pakatan Harapan (PH), tetapi mereka kata tidak sokong Umno dan pemimpin tertinggi mereka dan tidak akan hadir menyokong.

“Namun seperti mana yang kita lihat mereka tetap hadir juga,” katanya merujuk kehadiran pemimpin PAS di pusat penamaan calon PRK DUN Semenyih, semalam.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran Dasar Komuniti Negara, hari ini yang turut disertai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin; Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Semalam, Dr Mahathir mendedahkan PAS berjanji tidak akan menyokong Umno dalam PRK Semenyih dan ada pengakuan bertulis yang ditandatangani Hadi.

Ia susulan pertemuan secara tertutup pemimpin PAS dengan Dr Mahathir di pejabat PPBM di Yayasan Al-Bukhary, Jumaat lalu.

Ketika diminta mengemukakan surat pengakuan bertulis itu, Dr Mahathir bagaimanapun berkata beliau tidak memiliki surat tersebut.

“PAS cadang buat surat sebagai pengakuan tetapi mereka memberi contoh surat yang diberikan oleh Takiyuddin, surat itu ada pada saya.

“Surat daripada Hadi dan Samsuri tidak ada tetapi mereka berjanji membuat pengakuan tertulis,” katanya.

Dr Mahathir menambah, pengakuan itu mungkin dibuat disebabkan beberapa perjanjian antara PH dan PAS.

“Saya pun tak tahu, adakalanya mereka menyokong kepimpinan saya, tetapi mereka tidak selalu menyokong saya, seperti yang dilihat di PRK Cameron Highlands.

“Ada sedikit peraturan dibuat antara PH dan PAS, kerana PH tidak ada wakil di Kelantan dan Terengganu, jadi kita mahu wakil di sana sebaliknya dalam badan-badan tertentu, wakil PAS diberikan tempat,” katanya.

Walaupun ada pertemuan antara PPBM dan PAS, Dr Mahathir berkata tidak ada sebarang kerjasama rasmi antara kedua-dua parti tersebut, terutama untuk PRK Semenyih.