Pengerusi PKR Sabah terkejut PPBM mahu ke Sabah

Pengerusi PKR Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew terkejut dengan keputusan PPBM ingin mengembangkan sayapnya ke negeri itu.

Menurut beliau ini kerana ada persefahaman antara Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohd Shafie Apdal ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Pada PRU14 lepas, mereka (PPBM) tidak datang ke Sabah atas persefahaman menyerahkan kepada Warisan bersama PKR dan DAP.

“Tiba-tiba sekarang mahu datang ke negeri ini dan bekas ahli Umno termasuk wakil rakyat akan menyertai PPBM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri jamuan makan malam bersempena sambutan Hari Tenggiling Sedunia, malam tadi.

Liew, yang juga timbalan ketua menteri Sabah, bagaimanapun menyerahkan urusan lanjut keputusan itu kepada Shafie dan Dr Mahathir.

Liew berkata yang pasti Shafie memimpin kerajaan negeri dengan baik dalam mengukuhkan kewangan untuk melaksanakan pembangunan negeri ini.

“Ia menerusi pakatan baik kerajaan negeri diterajui Warisan bersama bersama PKR, DAP dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko),” katanya.

Beliau berkata majoriti rakyat Sabah juga memberi sokongan terhadap kepimpinan Shafie.

Pada Jumaat lepas, Dr Mahathir menyatakan PPBM bersetuju untuk menubuhkan cawangannya di Sabah bagi membolehkan bekas ahli Umno Sabah menyertainya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas ahli Umno Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang merupakan sekutu Pakatan Harapan.