Penjualan kepentingan Khazanah tidak gugat agenda Bumi, kata penganalisis

Khazanah dilaporkan merancang untuk menjual kepentingannya dalam GLC, termasuk menutup beberapa pejabatnya di luar negara. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Penganalisis menyuarakan sokongan kepada cadangan penjualan kepentingan dana pelaburan negara, Khazanah Nasional Berhad, dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mereka menolak kebimbangan bahawa langkah itu akan menggugat agenda Bumiputera.

Penganalisis terbabit memberi respons terhadap laporan bahawa Khazanah merancang untuk menjual kepentingan dalam GLC, termasuk mnutup beberapa pejabatnya di luar negara.

Pensyarah Universiti Malaya, Nazari Ismail berkata, langkah itu boleh diterima sekiranya ia dilakukan secara telus.

“Tidak ada salahnya langkah itu. Ia akan membantu menambah dana kerajaan dan mengurangkan beban hutangnya.

“Saya fikir kepentingan negara lebih utama daripada agenda Bumiputera. Jika kewangan kerajaan bermasalah, semua orang akan menerima akibatnya, termasuk golongan Bumiputera,” katanya kepada FMT.

Ketua penyelidik Inter-Pacific Securities, Pong Teng Siew bersetuju bahawa agenda Bumiputera tidak akan berkembang sekiranya harga saham lembap, seperti yang berlaku 2 tahun terakhir ini.

“Penjualan kepentingan itu mungkin diperlukan oleh pengurus dana asing untuk membeli saham dalam GLC.

“Pada masa ini apungan bebas syarikat ini terhad dan ia melembabkan pasaran saham,” kata Pong.

Khazanah, yang mengurus dana berjumlah kira-kira RM136 bilion, mempunyai pegangan strategik dalam sejumlah GLC, termasuk CIMB, Tenaga Nasional dan Axiata.

Dilaporkan rancangan sedang dibuat untuk menjual pegangannya secara besar-besaran dalam GLC, yang melibatkan penutupan beberapa pejabatnya di luar negara.

Antara sebab langkah itu diambil adalah kedudukan kewangan kerajaan tidak kuat dan ia perlu mencari sumber hasil alternatif.

Malaysia kini dikatakan menanggung beban hutang mencecah RM1 trilion.

Paling baru, Khazanah menjual kepentingannya dalam syarikat penjagaan kesihatan, IHH Berhad yang mengendalikan rangkaian hospital Pantai, pada nilai RM8.42 bilion. Ia melepaskan 16% kepentingan dalam syarikat itu.