Polis siasat dakwaan Syed Saddiq diserang

Semalam, tular di media sosial memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang selepas selesai penamaan calon bagi PRK Semenyih.

KUALA LUMPUR: Dua laporan polis berkaitan insiden melibatkan Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah berlangsung majlis penamaan calon bagi pilihan raya kecil Semenyih, disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata polis menerima 2 laporan tersebut daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

“Kertas siasatan dibuka susulan insiden Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mendakwa dikasari dan diugut blogger kontroversi Papagomo.

“Laporan pertama disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya dan pengadu mendakwa dikasari dan dipukul dari arah belakang ketika melindungi YB Menteri.

“Manakala laporan kedua diterima daripada pengadu iaitu Syed Saddiq yang dibuat di Balai Polis Sg Way Petaling Jaya yang disiasat di bawah Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat tentang insiden berkenaan diminta memberikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kes iaitu ASP Radzee B Jamudi di talian 0196655811 dan Insp Sallena di talian 0176424007.

Berikutan insiden tersebut, Syed Saddiq membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, petang semalam.

Klip video yang tular di media sosial memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih.

Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi oleh anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar sekumpulan lelaki.