Siapa layak ganti Zahid sebagai ketua pembangkang?

Zahid Hamidi kini ‘bercuti’ daripada menjalankan tugas presiden Umno sehingga selesai kesnya di mahkamah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi “bercuti” dan menyerahkan tugasnya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan selaku timbalannya, Umno masih tercari-cari penggantinya sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Menurut 2 penganalisis politik, senioriti dalam parti dan keupayaan menyuarakan pandangan bernas adalah faktor untuk menimbangkan calon ketua pembangkang.

Senioriti bermaksud individu yang memegang jawatan kanan dalam parti.

Bekas pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff berkata, mengikut senioriti individu yang sesuai menjadi ketua pembangkang ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Ismail Sabri mungkin naib presiden, tetapi beliau bukan sahaja “senior”, malah seorang yang diketahui mempunyai idea dan boleh berhujah dengan baik.

Ismail, 59, menyertai Umno sekitar 1986. Pada 1987, beliau dilantik menjadi ahli jawatankuasa Umno bahagian Temerloh. Kemudian, pada 1988, beliau dilantik sebagai ketua penerangan Umno bahagian Temerloh. Pada 1993, beliau dipiih pula sebagai ketua pergerakan Pemuda bahagian, timbalan ketua bahagian dan menjadi ketua Umno bahagian Temerloh pada 2004.

Kamarul menambah, jika dilihat dari faktor senioriti dalam Parlimen, Tengku Razaleigh adalah sosok yang paling sesuai. Bagaimanapun, katanya, ahli Parlimen Gua Musang itu tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti itu setakat ini.

“Kerana beliau yang paling lama dalam Parlimen.

“Jika nak lantik Mohamad tak boleh kerana beliau tiada dalam Parlimen,” katanya ketika dihubungi FMT.

Kamarul Zaman berkata, kalau diambil kira tahap aktif ahli BN yang sering bersuara dan memberi pandangan yang rasional, calon yang sesuai ialah bekas calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin atau bekas presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.

“Tapi Najib tidak akan dapat berfungsi dengan baik sebab dia berhadapan dengan banyak kes mahkamah. Khairy pula kalah dalam pemilihan, jadi mungkin dianggap tak mewakili arus perdana selain (dia) muda,” katanya.

Tambah Kamarul Zaman, calon kompromi atau calon yang sentiasa bersependapat ialah setiausaha agung parti, Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, ketika ditanya, siapa calon yang layak dipilih tanpa mengambil kira faktor tersebut, tanpa ragu, Kamarul memberitahu Khairy lebih layak.

“Dia berpelajaran tinggi dan sangat matang,” katanya.

Tetapi, katanya, terdapat masalah jika Khairy dipilih sebagai ketua pembangkang.

“Beliau tidak begitu senada dengan suara arus perdana dalam parti terutamanya melibatkan kerjasama PAS dan Umno.”

Zahid kini “bercuti” daripada menjalankan tugas presiden sehingga selesai kes di mahkamah yang dihadapinya. Beliau berdepan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram.

Sebelum ini, media melaporkan BN akan mengadakan satu perjumpaan khas bagi membincangkan nama baru menggantikan Zahid sebagai ketua pembangkang.

Mohamad yang menjalankan tugas presiden parti dilaporkan berkata, kerusi ketua pembangkang masih kosong kerana Zahid masih dalam fasa ‘bercuti’.

Sementera itu, Prof P Sivamurugan dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman, layak menggantikan tempat itu.

Hal ini katanya, Azalina mempunyai kewibawaan untuk berdepan dengan kepimpinan hari ini dan beratikulasi dengan rasional.

“Azalina juga mempunyai pengalaman sebagai ahli Parlimen dan menjadi ketua whip kerajaan sebelum diambil alih Ismail Sabri. Kini, menjadi ketua biro undang-undang Umno,” katanya.