Terengganu cadang MB dilantik pengerusi bersama Majlis Tindakan Negeri

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Dr Mahathir menerima positif cadangan itu, tetapi mahu ia dibawa semula kepada Kabinet untuk diputuskan. (Gambar Bernama)

CHUKAI: Kerajaan negeri Terengganu memohon kerajaan pusat mempertimbangkan cadangan memasukkan Menteri Besar sebagai pengerusi bersama dalam Majlis Tindakan Negeri (MTN) bagi negeri-negeri yang tidak berada di bawah Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, memutuskan MTN bagi negeri di bawah PH akan dipengerusikan Menteri Besar, manakala negeri bukan di bawah PH, dipengerusikan oleh menteri Kabinet.

“Perkara itu dibangkitkan ketika pertemuan bersama perdana menteri di Yayasan Al-Bukhary baru-baru ini… kerana jika tiada wakil kerajaan negeri dalam MTN, ia akan menyukarkan penyelarasan program pembangunan antara pusat dan negeri, terutama pengurusan projek yang berada di bawah pentadbiran pusat, termasuk Wang Tunai Petroleum (WTP).

“Pada dasarnya, PM menerima positif cadangan itu, tetapi oleh kerana perkara itu sebelum ini diputuskan oleh Kabinet maka cadangan itu juga perlu dibawa semula kepada Kabinet untuk diputuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan geran hak milik tanah projek Felcra kawasan Bukit Keladi (PLBP) Sungai Pergam, Mukim Hulu Jabur, Kemaman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, Terengganu tidak mempunyai masalah dengan mana-mana menteri Kabinet yang akan menjadi pengerusi MTN, tetapi adalah lebih mudah pemimpin negeri terlibat sama.

Dalam pada itu, katanya pertemuan itu juga turut membincangkan menyelesaikan pembayaran WTP Terengganu bagi tahun 2019. Untuk tahun 2018 Terengganu menerima keseluruhan pembayaran beberapa hari lalu dengan bayaran akhir berjumlah RM193 juta.

“Dengan pembayaran ini, kita menerima RM643 juta untuk royalti bagi 2018 selepas ditolak hutang tertunggak berjumlah RM63 juta dan saya ucapkan terima kasih kepada PM kerana mendengar rayuan kami,” katanya.