Wanita Rusia maut jatuh kondo di Tanjung Bungah

Seorang wanita warga Rusia ditemukan mati di kondominium di Persiaran Tanjung Bungah, Pulau Pinang. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Seorang wanita warga Rusia ditemukan mati di sebuah kondominium di Persiaran Tanjung Bungah, selepas terjatuh dari tingkat 25 bangunan perumahan itu awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata wanita yang hanya dikenali sebagai Katya, 36, ditemui mati di tingkat 9 kondominium berkenaan kira-kira pukul 6.30 pagi.

“Sebelum kejadian wanita yang tinggal di Gurney Drive itu datang ke kondominium berkenaan untuk bertemu dengan rakannya yang juga seorang pelajar di sebuah universiti pada pukul 5.00 pagi, dan sebelum itu memberitahu dia tertekan kerana mempunyai masalah dengan suaminya.

“Rakannya kemudian mahu menghantarnya pulang, bagaimanapun dia enggan dan rakannya itu masuk ke bilik air untuk mandi. Selepas mandi rakannya keluar bilik air dan mendapati wanita itu sudah tiada,” katanya hari ini.

Beliau berkata rakannya itu keluar rumah untuk mencari, dan mendapati Katya berada dalam keadaan tertiarap di bawah blok kondominium itu.

“Rakannya kemudian menghubungi polis, dan pegawai perubatan mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia. Setakat ini, polis masih sedang berusaha mengesan waris serta suaminya yang berusia 60 tahun,” katanya.

Che Zaimani berkata mayat wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.