Bapa ahli Parlimen Julau nafi terbabit sindiket kerja Kemboja

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang merupakan anak kepada bekas wakil rakyat, Sng Chee Hua, bersama keluarga 47 rakyat Malaysia dibebaskan dari penjara Kemboja baru-baru ini. (Gambar Bernama)

SIBU: Laporan polis yang dibuat bekas ahli Parlimen Julau, Datuk Sng Chee Hua bagi menafikan dakwaan tular di WhatsApp yang beliau dalam sindiket menghantar pekerja tempatan ke Kemboja, sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan perkara itu berkata, polis menerima laporan itu daripada Sng semalam bagi menafikan sebarang penglibatannya dalam perkara itu.

“Benar, kita ada menerima laporan (daripada Sng) dan telah merujuknya kepada SKMM. Dia (Sng) hanya menafikan sebarang penglibatan di dalam aktiviti berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Difahamkan, bekas ahli Parlimen Julau (1995–1999) itu membuat laporan berkenaan di Balai Polis Hulu Lanang pada 11.56 pagi Ahad, selepas diberitahu mengenai dakwaan tular di kalangan pengguna WhatsApp itu oleh anaknya, Larry Sng Wei Shien yang merupakan ahli Parlimen Julau.

Beliau menafikan sebarang penglibatan di dalam sindiket yang menipu rakyat Sarawak dengan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan di Kemboja, sehingga mengkibatkan 47 orang ditahan pihak berkuasa negara itu baru-baru ini.

Stanley juga mengesahkan tiada sebarang laporan dibuat mana-mana individu ke atas Sng yang pernah menjadi Adun Pelagus itu berhubung dakwaan terbabit.