Haiti: 25 pelajar Kanada terperangkap berlepas pulang

Sekurang-kurangnya 7 maut apabila Haiti terjebak dalam krisis politik yang menyaksikan kehidupan sehari-hari lumpuh akibat tunjuk perasaan dan sekatan di bandar besar. (Gambar AFP)

OTTAWA: Sekumpulan 25 pelajar sekolah dari Quebec, Kanada dan 3 pengiring mereka akhirnya berjaya meninggalkan Haiti pada Ahad, di mana mereka terperangkap susulan insiden tunjuk perasaan antikerajaan yang ganas.

“Kami kini berada atas pesawat dalam perjalanan pulang ke Montreal,” seorang daripada pengiring terbabit mengesahkan perkara itu melalui khidmat pesanan.

Pengusaha pelancongan Kanada, Transat, turut mengesahkan kumpulan pelajar itu menaiki penerbangan TS663 yang berlepas pada pukul 3.59 petang dari ibu kota Haiti, Port-au-Prince.

Selain kumpulan pelajar itu, kakitangan kedutaan Kanada yang ditutup buat sementara turut berlepas pulang dengan menaiki pesawat sama.

Sehari sebelum itu, sekumpulan 131 pelancong Kanada dibawa keluar dari sebuah pusat peranginan pantai di Haiti dengan helikopter selepas mereka terperangkap selama seminggu susulan pergolakan yang berlaku di negara tersebut.

Pelancong terbabit dibawa secara beransur-ansur ke lapangan terbang antarabangsa Port-au-Prince, di mana mereka menaiki penerbangan ke Kanada, menurut Transat.

Pada Jumaat, Kanada secara rasmi memberi amaran kepada rakyatnya agar tidak pergi ke Haiti, selepas penutupan sementara kedutaan negara itu di Port-au-Prince.

Sejak 7 Feb, sekurang-kurangnya 7 orang maut apabila Haiti terjebak dalam krisis politik yang menyaksikan kehidupan sehari-hari lumpuh akibat tunjuk perasaan dan sekatan di bandar besar.

Para penunjuk perasaan, yang marah dengan kenaikan inflasi dan dakwaan berlaku penyelewengan hampir AS$2 bilion dalam subsidi minyak dari Venezuela, mendesak Presiden Jovenel Moise meletak jawatan.