Hamas kuasai pintu masuk Gaza di sempadan Israel

Gambar AFP.

GAZA: Gerakan Islam Hamas yang memerintah Gaza menguasai pintu masuk utama barangan yang bersempadanan Israel, kata seorang pegawai kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri di Semenanjung Gaza pada Ahad.

Hamas merampas Semenanjung Gaza pada 2007 dalam konflik yang hampir mencetuskan perang saudara dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas daripada Fatah.

Tetapi, ia bersetuju menyerahkan penguasaan laluan sempadan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai Fatah pada 2017, sebagai sebahagian cubaan perdamaian gagal antara kedua-dua pihak.

Pentadbiran PA di pintu masuk barangan itu yang dipetik agensi berita rasmi Wafa berkata, Hamas “mengusir pekerjanya dan melarang mereka memasuki laluan itu”.

Pintu sempadan itu dikenali sebagai Kerem Abu Salem bagi penduduk Palestin dan Kerem Shalom bagi Israel. Laluan di selatan Semenanjung Gaza yang dibelenggu kemiskinan itu penting bagi warga Gaza yang hidup di bawah sekatan Israel lebih sedekad lalu.

Hamas mengesahkan kakitangan PA sudah meninggalkan laluan itu.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Gaza, Iyad al-Bozum dalam satu kenyataan berkata, pasukan keselamatan “melaksanakan prosedur yang ditetapkan perintah keselamatan”.

“Kakitangan PA di laluan itu enggan bekerjasama mengikut prosedur ini selama beberapa hari dan hari ini kami terkejut dengan pemergian mereka.”

Katanya, barang terus melepasi pintu masuk itu seperti biasa.

Agensi di Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal sivil warga Palestin, Cogat berkata, “trak memasuki” Gaza seperti biasa.

Bulan lalu, sebahagian daripada satu-satunya pintu masuk ke Gaza di sempadan Mesir, ditutup kira-kira 20 hari selepas kakitangan PA menarik diri daripada pintu sempadan itu atas dakwaan campur tangan Hamas.

Kakitangan Hamas segera mengambil alih laluan di pintu Rafah semula, satu-satunya jalan ke Semenanjung Gaza yang tidak dikawal Israel.

Israel dan militan Palestin di Gaza, termasuk Hamas bertempur dalam 3 peperangan sejak 2008.

Ketegangan timbul semula sejak Mac lalu, apabila penduduk Palestin berhimpun setiap minggu di sepanjang sempadan Israel bagi menggesa rejim Zionis menamatkan sekatan.

Sekurang-kurangnya 250 warga Palestin terbunuh sejak itu, majoritinya ditembak dalam pertempuran, tetapi ada yang maut dalam serangan udara atau tembakan kereta kebal.

Dua tentera Israel dilaporkan terbunuh pada tempoh sama.