Justo: Siasatan intipan ekonomi hanya kerenah birokrasi

Xavier Andre Justo.

PETALING JAYA: Bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo menolak laporan beliau disiasat pihak berkuasa Switzerland atas dakwaan pengintipan ekonomi sambil menyifatkannya ia “perkara kecil”.

“Ia adalah proses pentadbiran,” katanya kepada FMT sambil menambah ia “tidak penting atau menarik”.

Semalam, Perbadanan Penyiaran Switzerland melalui portal swissinfo.ch melaporkan Menteri Undang-undang negara itu, Simonetta Sommaruga mengarahkan Justo yang mendedahkan dokumen berkaitan 1MDB pada 2015, didakwa.

Ia susulan perdebatan di Switzerland tentang sejauh mana pemberi maklumat boleh dilindungi dalam kes membabitkan rasuah korporat.

Bagaimanapun, Justo berkata, ia adalah “fakta lama dari 2017” ketika keluarganya memfailkan aduan jenayah terhadap Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid serta Pengarahnya, Patrick Mahony.

“Apa yang mereka lakukan bukannya menyaman kami kerana fitnah, sebaliknya mereka memfailkan aduan terhadap kami atas pengintipan perindustrian,” katanya dalam catatan di Facebook baru-baru ini.

Beliau mengulangi tidak pernah mencuri sebarang maklumat dan itulah cara sistem kehakiman berfungsi.

“Sebelum ditolak, ia perlu melalui banyak saluran, khasnya dalam kes 1MDB.”

Katanya, isu itu dimainkan “wartawan” yang tidak menghubungi beliau atau keluarganya untuk mendapatkan komen mereka.

“Ini perkara kecil, sekadar cubaan PR,” katanya kepada FMT.