Kenyataan PM bukan direka, Muhyiddin beritahu PAS

SEMENYIH: Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PAS terperangkap dengan helah politik sendiri apabila berdolak dalik mengenai intipati perjumpaan pimpinan parti itu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ketegasan Dr Mahathir menyatakan PAS bersetuju mengkaji semula kerjasama dengan Umno pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih berbanding di Cameron Highlands bukan sesuatu yang direka.

Bagaimanapun penafian awal beberapa pemimpin PAS terhadap kenyataan Dr Mahathir itu hanya menyerlahkan amalan berbohong dalam parti itu, kata Muhyiddin.

“Bukan dia (Dr Mahathir) tidak faham bahasa, takkan dia tak tahu kenyataan (PAS) itu tak betul,” katanya selepas majlis ceramah sempena PRK DUN Semenyih.

Sebelum ini, gambar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemu dengan perdana menteri di Putrajaya minggu lalu tular di semua media.

Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM kemudian mendedahkan, pada pertemuan itu, Hadi memberi perakuan PAS akan mengkaji semula tahap kerjasama dengan Umno dalam menentang calon PPBM di PRK Semenyih.

Hadi sendiri membisu mengenai isu itu namun semalam Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan menyokong kepimpinan Dr Mahathir.

Beliau juga berkata tahap kerjasama PAS-Umno di Semenyih tidak akan “sehebat” seperti di PRK Cameron Highlands.

Muhyiddin berkata hujah berbeza-besar yang dilontar pemimpin PAS hanya menyerlahkan politik PAS selama ini.

“Macam biasalah dia (PAS) boleh bohong, (contoh) oh tidak, saya nafikan,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, apa yang penting buat partinya sekarang, sokongan PAS terhadap Umno sudah berbeza di Semenyih.

“Apa yang Dr Mahathir kata, PAS di Semenyih ini tidak sama dengan Cameron Highlands,” kata Muhyiddin.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kemelut PPBM Perak akan ditangani selepas PRK Semenyih.

Lapan ketua bahagian PPBM di Perak mendesak Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk meletak jawatan.

Mereka turut menolak notis pembubaran bahagian masing-masing yang disetujui oleh Faizal selaku pengerusi PPBM negeri.

“Saya sudah maklum mengenai punca itu. Tapi saya minta untuk kita bincang perkara berkenaan selepas pilihan raya nanti,” kata Muhyddin.