Mahkamah Persekutuan perintah petisyen pilihan raya Jasin dibicara semula

Khairuddin Abu Hassan. (Gambar fail)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan perbicaraan semula petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon PKR, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang bertanding di kerusi Parlimen Jasin pada pilihan raya umum ke-14 tahun lepas.

Panel hakim 5 orang yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara membenarkan rayuan atas alasan Khairuddin boleh memfailkan petisyen itu di mana-mana Mahkamah Tinggi Malaya.

Malanjum berkata, Khairuddin juga mengemukakan maklumat yang mencukupi dalam petisyennya.

“Kami akan kemukakan alasan bertulis kemudian,” katanya.

Beliau juga membenarkan kos RM20,000 kepada Khairuddin, yang diwakili oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, dan membenarkan permohonan beliau supaya seorang hakim pilihan raya yang baru dilantik untuk mendengar petisyen itu.

Pengurusan kes ditetapkan pada Jumaat depan.

Oktober lepas, hakim Che Mohd Ruzima Ghazali mengisytiharkan calon Barisan Nasional Ahmad Hamzah sebagai pemenang sah kerusi Parlimen Jasin berikutan bantahan permulaan beliau.

Ruzima berkata, Khairuddin sepatutnya memfailkan petisyen beliau di Mahkamah Tinggi Melaka, bukan di Kuala Lumpur.

Katanya, Khairuddin gagal mematuhi syarat asasi Perkara 118 perlembagaan persekutuan, yang memadai bagi membenarkan tindakan Ahmad untuk membatalkan petisyen tersebut.

Peruntukan perlembagaan menyebut bantahan terhadap petisyen hendaklah dikemukakan di “Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di mana pilihan raya itu diadakan”.

Ruzima juga berkata, ketidakselarasan dalam Borang 14 selepas undi dibuang tidak memberi kesan ke atas integriti pilihan raya.

Khairuddin memfailkan petisyen beliau berhubung dakwaan ketidakselarasan borang berkenaan, dengan sebahagiannya tidak mempunyai tanda tangan pegawai pengurus pilihan raya, sementara yang lain mempunyai tanda tangan ejen calon.

Beliau juga mendakwa jumlah kertas undi yang dikeluarkan adalah lebih banyak daripada jumlah undi yang dibuang.

Ahmad mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 219 undi dalam persaingan 3 penjuru.

Beliau memperoleh 26,560 undi mengatasi Khairuddin yang mendapat 26,341 undi dan calon PAS 8,860.