Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS

Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada sesi dagangan pagi ini didorong permintaan lebih baik bagi mata wang tempatan, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit disebut harga pada 4.0720/0770 berbanding 4.0870/0900 pada Jumaat lepas.

Peniaga berkata, sentimen itu turut disokong oleh harga minyak stabil, walaupun di sebalik kebimbangan dengan ketidaktentuan politik dalam pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

“Laporan Trecent menyatakan China mengemukakan cadangan dramatik untuk menangani isu penting perdagangan tidak seimbang. Ini akan menghapuskan keseluruhan lebihan perdagangan 2 hala dengan Amerika dalam 6 tahun,” katanya.

Harga minyak mentah Brent berada pada AS$66.48 setong.

Berbanding dengan kebanyakan mata wang utama yang lain, ringgit diniagakan lebih tinggi.

Mata wang tempatan menyusut berbanding pound British kepada 5.2570/2638 daripada 5.2354/2409 semasa ditutup pada Jumaat.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0032/0073 daripada 3.0082/0116, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6837/6893 daripada 3.7013/7050 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6046/6107 daripada 4.6110/6152.