Serang Syed Saddiq: Papagomo direman 3 hari, disiasat bawah 2 seksyen

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris direman 3 hari sehingga Rabu dalam siasatan kejadian serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Kajang, Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Kajang, Mohd Sabri Abdullah berkata pemohonan reman terhadap Wan Azri dibuat di Mahkamah Majistret Kajang pagi ini.

“Selain Wan Azri, terdapat seorang lagi individu berusia 39 tahun ditahan namun dibebaskan setelah diambil keterangan dengan jaminan polis.

“Dia kini disiasat bawah Seksyen 147 dan 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan Wan Azri, 36, ditahan di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam kejadian 10.45 pagi Sabtu itu, Syed Saddiq mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon pilihan raya kecil DUN Semenyih yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

Video insiden provokasi berdurasi 22 saat itu tular dalam media sosial yang menunjukkan Syed Saddiq dikawal ketat polis dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang insiden berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu ASP Radzee B Jamudi di talian 019-6655811.

Dalam perkembangan lain, 13 laporan polis dibuat sejak hari penamaan calon hingga hari ini berhubung PRK berkenaan.

Daripada 13 laporan itu, 3 kertas siasatan dibuka dengan 2 daripadanya membabitkan insiden serangan terhadap Syed Saddiq, manakala 1 lagi laporan berkaitan aktiviti ceramah tanpa permit di tapak pasar malam di Taman Pelangi, Semenyih semalam.

“Polis juga meluluskan 10 permit bagi aktiviti ceramah dan calon bertanding diminta memohon permit bagi mengadakan ceramah atau aktiviti politik sepanjang tempoh kempen berlangsung,” katanya.